Papan taktikal (Tatical board) adalah satu keperluan di dalam pengurusan taktikal bola sepak. Daripada yang hanya di papan putih sehinggalah yang digital berharga ribuan ringgit.
Namun, tidak ramai yang mampu membeli perisian tactical board digital yang mengandungi zon dan posisi dan peranan pemain secara sistematik seperti yang dimiliki di Eropah.
Oleh itu, adalah menjadi cabaran untuk jurulatih, terutama pasukan amatur untuk menerangkan taktikal berdasarkan penerangan zonal dan koridor dalam pelan taktikal.
Ada jurulatih yang hanya menerangkan posisi dan di mana pemain harus berada ketika serangan balas.
Dari sudut lebih holistik ada beberapa jurulatih yang gagal memberikan penerangan yang komprehensif tentang di mana zon utama untuk menyerang, menyerap asakan dan zon untuk bermain agresif secara berpasukan.
Jadi, setiap jurualatih perlu mengambil inisiatif yang berkesan untuk menerangkan perancangan taktikal mereka kepada para pemain.
Perlawanan terakhir Weigang di Malaysia guna papan taktikal kertas mahjong
Perlawanan terakhir Weigang di bumi Malaysia bukanlah untuk Perak ketika menang menentang JDT.
Tetapi bersama dengan pasukan Manjung FA yang bermain dalam Liga Bola Sepak Rakyat.
Weigang telah mengambil alih tugasan untuk menjadi jurulatih Manjung FA dalam perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat menentang Gua Musang pada Sabtu lalu.
Bekas pengendali Perak, Karl-Heinz Weigang telah menunjukkan cara untuk melakar papan taktikal manual kepada para pemain beliau.
Ianya ringkas dan sistematik berdasarkan pelan taktikal di setiap zon dan koridor.
Di bawah ini adalah contoh papan taktikal yang dilakar dan disediakan oleh Weigang sempena perlawanan ini.
Lakaran Weigang dengan membahagikan padang kepada beberapa zon termasuk:
1. Covering zone
2. passing zone
3. Receiving zone
4. Overlapping zone
5. Zonal marking zone
6. Man to man marking zone
Jelas sekali ia adalah sistem kawalan hibrid ataupun mixed marking system. Zonal marking digunakan di bahagian tengah/middle third.
Di zon rendah ataupun defensive third, implementasi kawalan ketat ke atas pemain (man to man marking) digunakan.
Sistem ini juga akan cuba menghalang sebarang cubaan gol dari luar kotak penalti.
Gambar di atas juga menunjukkan posisi pemain ketika menyerang dengan formasi 4-4-2 yang stabil. Garisan tersebut mewakili team shape ataupun jarak di antara pemain.
Dalam perlawanan tersebut Weigang telah membantu Manjung FA menang 2-1 ke atas Gua Musang.
Ini adalah post mortem oleh Weigang kepada pasukan Manjung FA. Beliau menggariskan beberapa aspek yang harus diperbaiki.
Paling menarik adalah ayat:
“Jika kedudukan 2-1, anda perlukan 1 lagi gol. Jangan pergi ke kawasan bendera sepakan penjuru (corner flag).”
“Kalau 3-1 Ok! awak boleh pergi ke corner flag. (Sambil bergurau) Nak ke sana, sana, sana (sambil menunjukkan semua corner flag).”
Rumusan
Setiap jurulatih ada pendekatan taktikal yang berbeza. Namun apa yang Weigang tunjukkan ini adalah sampel penting dalam papan taktikal.
Pemain haruslah tahu di mana mereka perlu menukar peranan, di mana mereka perlu berada apabila menyerang dan bertahan.
Hanya dengan sehelai kertas mahjong, beberapa batang marker dan duit syiling, anda sudah mampu memiliki papan taktikal yang sistematik dan sangat murah.
Kurang dari RM10 untuk 1 papan taktikal. Bukan nilai murah atau mahal yang menjadi isu. Yang penting lakaran dan penerangan yang komprehensif.
Untuk pengetahuan pembaca semuanyaBOLA, Figura ikonik ini dijadualkan berlepas pulang ke Jerman 6 Mac 2017.
Nama Weigang akan selamanya terpahat di dalam arena bola sepak Malaysia.Dan papan taktikal ini akan menjadi kenangan yang akan anda ingati. Selamat jalan dan danke Weigang.
Semoga perkongsian ringkas hanya dengan 1 gambar ini memberikan banyak manfaat kepada kita semua.
Nota editor: Maklumat termasuk lampiran visual dan video di dalam artikel ini adalah sumbangan Amar Muiz Kamarudin .
Baca juga: 5 Statistik Negeri Sembilan Setakat Ini Yang Anda Perlu Tahu