Pencapaian menarik yang dikecapi ketika ini oleh Manchester City pasti mendapat pujian dan perhatian daripada pelbagai pihak terhadap keupayaan kelab tersebut. Pemain berpengalaman, Wayne Rooney juga tidak terkecuali untuk berbicara tentang pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.
Dengan nada yang begitu berbeza, Rooney menyifatkan disebalik prestasi hebat yang ditampilkan City, beliau percaya bahawa skuad Manchester United ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah 2007/08 lebih baik berbanding Manchester City ketika ini.
Skuad bimbingan Pep Guardiola itu terus melebarkan rekod kemenangan berturut-turut mereka setelah menumpaskan Tottenham Hotspur 4-1 pagi tadi.
”Terdapat banyak pasukan hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Saya tidak pasti samada City salah satu daripadanya,” kata Rooney kepada talkSPORT.
”Mereka (Manchester City) perlu memenangi trofi dan memenangi dalam tempoh yang lama untuk berada dalam kelompok tersebut.”
”Pasukan yang terbaik? Saya melakukan bersama United dari tahun 2008.”
Rooney merupakan salah seorang daripada pemain utama yang membawa United meraih kejuaraan liga dan Eropah pada musim 2007/08 dengan menjaringkan 18 gol dalam semua kejohanan disertai.
Sementara itu, Rooney turut menolak kemungkinan Manchester City akan menamatkan saingan liga musim ini dengan rekod tanpa kalah.
”Mereka telah melakukan dengan sangat baik bersama rekod kemenangan yang dilakukan, tetapi persaingan Liga Perdana Inggeris sangat sukar, terutamanya sekarang dengan tempoh Hari Natal yang bakal menjelma,” jelas Rooney lagi.
”Saya tahu mereka mempunyai sebuah pasukan yang besar, dengan himpunan pemain yang hebat. Tetapi terdapat banyak pasukan hebat dalam saingan liga.”
Manchester City hanya keciciran dua mata musim ini selepas diikat 1-1 ketika bertemu Everton dan jaringan dari Wayne Rooney telah menafikan rekod kemenangan bersih kesemua perlawanan liga selepas tamat 18 perlawanan.