Kini, satu lagi episod baharu dalam karier Wanye Rooney.
Penyerang legenda England itu telah mengesahkan perpindahan beliau ke kelab DC United yang beraksi di Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat.
Bekas pemain Manchester United itu melengkapkan perpindahan percuma ke DC United dari Everton selepas pemain itu lama dikaitkan dengan kelab tersebut.
Walaupun berpindah secara percuma, DC United dikatakan telah membayar sejumlah nilai yang dikelaskan sebagai pampasan untuk Everton.
Rooney sudah pun disahkan sebagai pemain DC United, walaupun begitu beliau belum boleh beraksi untuk pasukan tersebut sehingga tarikh 10 Julai 2018.
Hal ini kerana, jendela perpindahan pertengahan musim buat MLS hanya akan dibuka pada tarikh tersebut.
Apa yang menarik, Rooney akan melakukan penampilan pertama beliau di stadium baharu DC United iaitu Audi Field pada 14 Julai 2018.
Mereka sebelum ini beraksi di RFK Stadium sejak ditubuhkan pada 1996.
Menurut Rooney, beliau nyata gembira dengan perpindahan ini kerana ianya telah memenuhi satu lagi cita-cita beliau untuk beraksi di luar England.
Rooney bakal menyarung jersi nombor 9 dengan beliau akan menjadi pemain termahal dalam sejarah DC United dengan rekod bayaran sebanyak £10 juta.
DC United merupakan pasukan legenda dalam bola sepak Amerika Syarikat dengan mereka menguasai bola sepak negara tersebut di awal penubuhan MLS.
Mereka kini menduduki tangga terakhir Eastern Conference MLS dan di tangga tercorot kedudukan keseluruhan MLS.