Kami mendapat satu pertanyaan dari pembaca semuanyaBOLA tentang kenapa padang Leicester terlalu basah ketika perlawanan menentang Manchester United tempoh hari.
Ia seakan-akan satu taktik yang digunakan oleh Leicester untuk memberikan kelebihan kepada mereka ataupun menyukarkan United?
Kenapa padang basah?
Kami mungkin akan betulkan istilah penyembur itu jika ada yang mampu memberikan istilah yang lebih baik.
Bahasa universalnya adalah water sprinkler.
Ia perkara penting dalam pengurusan stadium untuk memastikan padang sentiasa berada dalam kelembapan dan kadar air yang sesuai.
Jika anda menyaksikan perlawanan EPL ataupun beberapa perlawanan lain pada awal pagi di saluran Astro yang biasanya tidak ada pengulas dari studio.
Pada rehat separuh masa anda biasanya melihat satu situasi di mana air tiba-tiba keluar memercik dari beberapa kawasan.
Dan jika ada sprinkler ini tidak berfungsi akan melihat ada groundsman yang panik menyimbah air dengan teknik manual.
Namun teknik menyimbah secara manual ini bukannya bagus kerana ia tidak rata dengan atau menepati kapasiti air yang telah diselaraskan.
Konsep
Water sprinkler ini hanyalah teknologi baru. Namun konsep untuk melembapkan dan menyiram padang ini telah lama.
Dahulu, groundsman/groundskeeper menggunakan penyiram yang biasa termasuk tin besar yang dilubang-lubang di bawahnya.
Tujuannya untuk memastikan rumput padang kekal lembap dan mendapat air untuk ‘hidup’.
Teknologi water sprinkler
Namun perkembangan teknologi membawa kepada teknologi yang lebih baik dengan adanya water sprinkler.
Di mana segala kerja hanya pada butang digital ataupun analog. Water sprinkler memastikan kerja-kerja pengairan ini menjadi lebih efisien dan konsisten.
Dengan water sprinkler, mereka boleh melakukan kerja dengan mudah. Ini kerana di satu ruang kawalan mereka boleh melakukan kerja dengan seragam dan terancang seluruh permukaan padang.
Ia adalah teknologi yang tersembunyi di bawah padang dan boleh tenggelam timbul.
Untuk pasukan yang kaya dan kelab ternama, mereka menggunakan teknologi lebih canggih, segalanya automatik sepenuhnya.
Daripada sistem tangki, saluran dan juga pengesanan cuaca. Semuanya ada! Cuma tekan sahaja tetapan yang diperlukan.
Berapa milimeter, sentimeter atau inci air yang diperlukan. Berapa jam sekali ia perlu disiram. Nak air ‘hujan’ ataupun sekadar ‘renyai’.
Ketika hujan ia tidak akan menyiram padang. Dan tidak perlu mengupah ramai tenaga manusia untuk menyiram satu padang yang luas.
Adakah ia boleh dijadikan salah satu taktikal?
Air adalah satu unsur yang boleh mempengaruhi pegerakan pemain dan juga bola. Jadi, potensi ini sudah cukup untuk menjawab soalan ini.
Jawapannya Ya!
Pada 2011, Sir Alex Ferguson pernah meminta UEFA menyelaraskan tetapan untuk semburan air pada separuh masa.
Ini kerana, ada yang terlebih semburan sehingga air bertakung. Namun UEFA sukar melaksanakannya kerana setiap stadium menggunakan teknologi yang berbeza.
5 tahun sebelum itu, pada 2006, The Guardian melaporkan Carlos Puyol tidak selesa dengan pengurusan Stamford Bridge.
Mereka dikatakan menyiram air dengan kuantiti yang banyak sebelum latihan pasukan Barcelona di Stamford Bridge.
Hanya kawasan di hadapan gol ditutup dengan plastik untuk menjaganya daripada terkena air.
Pada hari perlawanan, padang itu disembur sekali lagi menjadikan padang berair.
Barcelona mendakwa Jose Mourinho sengaja mewujudkan permukaan yang menyukarkan permainan bola sepak tiki-taka mereka.
Mereka hairan Chelsea masih menggunakan water sprinkler sedangkan selepas hujan. Ini keadaan padang Stamford Bridge ketika itu.
Mourinho menafikannya, dan dia tidak ada kena-mengena dengannya. Pihak pengurusan Chelsea berkata ia prosedur biasa di Stamford Bridge.
Menariknya pada hari perlawanan kedua-dua pasukan masing-masing bolos menerusi jaringan sendiri (Thiago Motta & John Terry).
Eto’o menjaringkan gol kemenangan Barcelona pada minit ke-80.
Bagaimana ia berlaku?
Jumlah air yang sesuai dengan pemukaan padang, keadaan padang, jenis rumput dan juga ukuran panjang rumput membolehkan bola digerakkan dengan cantik.
Sebaliknya, jika permukaan padang kering dan beralun, ia akan melambatkan bola. Ini yang menyebabkan pemain sukar untuk bermain dengan baik ataupun seperti biasa.
Ada pasukan memastikan kadar air pada padang mereka sentiasa sama sepanjang tahun dan pemain akan berlatih pada permukaan tersebut.
Misalnya Harry Redknapp merancang memasukkan pemain sayap yang kurang laju seperti Niko Kranjcar dari kiri pada separuh masa kedua.
Pada rehat separuh masa, water sprinkler ini akan menyembur air yang lebih banyak di bahagian tersebut.
Ini untuk membolehkan bola hantaran ke bahagian tersebut lebih mudah dikejar Kranjcar kerana momentumnya dilambatkan oleh kadar permukaan air tersebut.
Jika beliau merancang menggunakan Bale, plan ini tidak perlu, kerana pemain ini lebih selesa mengejar bola yang bergerak laju.
Ia juga digunakan untuk mensabotaj pemain sayap lawan yang laju dengan menyemburkan lebih air di kawasan tersebut.
Ada juga pasukan yang menyembur air yang banyak di kawasan gol lawan pada separuh masa kedua untuk menyukarkan pertahanan lawan bermain pada permukaan licin.
Ia juga boleh mengganggu jika pasukan yang menyerang adalah pasukan yang suka bertukar hantaran di dalam kotak penalti.
Ada pasukan yang menambahkan kadar air untuk melambatkan pasukan yang suka bermain pertukaran hantaran.
Mungkin ini yang dilakukan Leicester tempoh hari? Atau mereka memang selesa dengan keadaan ini, tanpa mengira siapa sahaja lawan mereka.
Pada masa yang sama, pemain mereka sudah dipesan untuk menggunakan kasut yang sesuai.
Kebanyakan taktik dan sabotaj khas ke atas zon tertentu kerap berlaku pada separuh masa kedua. Kenapa?
Ini kerana banyak pasukan pelawat jika berpeluang memilih padang akan menukar pilihan mereka apabila pasukan tuan rumah dilihat sudah bersedia di padang mereka sebelum sepak mula.
Rumusan
Ia adalah satu keperluan yang tidak boleh disangkal lagi kepentingannya. Ia adalah untuk menjaga padang.
Jadi, jika ada yang menjadikan ia alat untuk kelebihan taktikal ataupun memanipulasi taktikal lawan, ia akan menjadi senjata yang sangat bahaya.
Ini kerana, anda tidak boleh melarang orang menggunakannya, atau membantah tetapan yang mereka gunakan.
Jadi, istilah home advantage (kelebihan di tempat sendiri) itu benar-benar digunakan dan didefinisiskan sebaik-baiknya!
Baca juga: Annuar Musa: “Saya Bertanding Sebab Risau Tiada Calon Lain Masuk Sekali”