Pemain skuad kebangsaan, Wan Zack Haikal memilih untuk kekal dengan pasukan Felda United walaupun mendapat tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super.
Ini diakui sendiri oleh pemain itu kepada Harian Metro sebagai menjawab spekulasi penghijrahannya ke pasukan bergelar The Red Warriors seperti digembar-gemburkan melalui media sosial.
Walaupun belum menandatangani kontrak baru secara rasmi, namun dia sudah menyatakan persetujuan bertulis kepada pengurusan FELDA untuk terus bersama kelab itu musim depan.
“Saya akui memang pernah dirisik oleh Kelantan tapi selepas berfikir panjang, rasanya elok saya bermain sekurang-kurangnya semusim lagi bersama FELDA.
“Ini kerana sepanjang semusim bersama mereka, saya berasa amat selesa. Jurulatih (B Sathianathan) banyak membantu saya memulihkan prestasi selepas mengalami kecederaan agak serius sebelum ini.
“Malah, sejak bersama FELDA, saya memperoleh keyakinan baru hingga mampu meraih semula tempat dalam pasukan kebangsaan.
“Di samping itu, saya melihat pasukan ini mempunyai potensi untuk mencabar kejuaraan musim depan selepas menduduki tangga ketiga Liga Super serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini,” katanya kepada Harian Metro.
Wan Zack baru pulang dari tugasan bersama skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Buriram, Thailand yang menyaksikan Malaysia tewas 4-1 kepada lawan.
“Saya sudah menandatangani persetujuan untuk kekal bersama FELDA, cuma belum menandatangani kontrak. Mungkin saya akan lakukan sehari dua lagi,” ujar Wan Zack.
Pemain kelahiran Maran, Pahang itu pernah mewakili Kelantan selama tiga musim bermula 2014 selepas kecederaan memendekkan aksinya bersama kelab profesional Jepun, FC Ryukyu yang disertai pada April 2013.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Felda United, B Sathianathan mengesahkan pemain sayapnya Wan Zack Haikal kekal bersama pasukan itu untuk musim depan. Ia sekaligus menamatkan spekulasi bahawa pemain berusia 26 tahun itu akan berkelana ke pasukan lain.
“Saya sudah dapat pemain yang akan bermain bersama Felda United musim depan dan beberapa tonggak seperti Shukor Adan dan Wan Zack sudah menyatakan persetujuan untuk bersama kami.
“Jadi, tak betul lah ada khabar angin yang kata beberapa pemain tonggak akan berhijrah dari Felda United, “katanya kepada Sinar Harian.
Sathianathan turut mengesahkan sedang mengintai dua import baharu untuk mengukuhkan pasukan musim hadapan.
“Saya baru pulang dari Indonesia untuk melihat import yang bermain di sana. Setakat ini dua pemain sedang dalam penilaian. Seorang pertahanan tengah dan seorang lagi penyerang untuk membantu Thiago Fernandes,” katanya
Jelasnya, lima pemain tempatan juga telah menandatangani kontrak dengan Felda United dan enam pemain sedia ada digugurkan dari pasukan itu.