Prestasi yang semakin konsisten ditonjolkan oleh Liverpool kini telah mula menampakkan hasil apabila mereka mula mendaki kedudukan atasan liga.
Selepas merakamkan kemenangan ke atas West Ham United pagi tadi, Liverpool kini mula mendekati zon kelayakan ke UEFA Champions League (UCL).
Walaupun begitu, pengendali The Reds iaitu Jurgen Klopp tidak mahu skuadnya bermimpi terlebih dahulu untuk berjaya layak ke UCL kerana masih lagi ada banyak perlawanan yang perlu dimenangi.
Bagi Klopp, Liverpool masih belum berada dalam kedudukan yang sepatutnya berlumba untuk layak ke UCL.
“Saya belum nampak perlumbaan itu lagi, saya tak boleh, kerana kami masih belum berada dalam posisi untuk berlumba lagi.
“Apa yang kami boleh buat sekarang adalah memenangi perlawanan bola sepak. Jika ianya memberikan tekanan kepada pasukan lain, ianya bukan masalah kami kerana kami tidak menentang mereka.
“Kami akan menentang Tottenham Hotspur dan Aston Villa dan itu sahaja yang saya nampak. Jika mereka menang semua perlawanan maka itulah dia, jadi saya tak ambil kisah sangat [mengenai kelayakan UCL],” kata Klopp menerusi Liverpool Echo.
Liverpool semalam bangkit daripada ketinggalan selepas Lucas Paqueta meletakkan West Ham di depan pada minit ke-12.
Cody Gakpo kemudiannya menyamakan kedudukan empat minit berselang sebelum Joel Matip menghasilkan gol kemenangan di separuh masa kedua.
Apa yang menjadi keutamaan Klopp ketika ini adalah beliau mahukan pasukannya lebih konsisten berbanding sebelum ini.
Apabila konsisten, barulah kemenangan boleh diraih. Gitu.
“Kami sudah bermain baik sejak tiga setengah perlawanan yang lalu, separuh masa kedua ketika menentang Arsenal tempoh hari menang cemerlang. Separuh pertama [menentang West Ham] adalah yang paling saya suka sejak sekian lama.
“Malam ini, kami mengawal permainan dengan cara yang tidak pernah kami lakukan ketika menentang West Ham dan saya sukakannya,” tambah Klopp lagi.