[VIDEO]: Tan Cheng Hoe Dikejutkan Dengan Pergaduhan Safawi-Sumareh

Ketua Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe dikejutkan dengan pergaduhan membabitkan dua pemain penting skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Dalam satu video yang mulai menjadi tular di Twitter, Safawi kelihatan mahu menyerang Sumareh, sehingga memaksa rakan sepasukan dan kakitangan pasukan campur tangan.

Tan Cheng Hoe yang berada berdekatan, buat seketika seperti bingung dengan apa yang berlaku. Insiden tegang ini dipercayai berlaku ketika pasukan sedang menikmati makan tengah hari pada hari ini. Apa puncanya?

Sebenarnya pergaduhan membabitkan kedua-dua pemain tersebut bukan seperti yang disangka ramai.

Pegaduhan antara Safawi dan Sumareh itu hanya gimik yang dilakukan oleh pemain untuk menarik perhatian Tan Cheng Hoe pada ketika kek harijadi jurulatih itu dibawa masuk.

Tarikh 30 Mei pada hari ini, jurulatih dari Kedah itu genap berusia 53 tahun. Memandangkan pada tahun ini beliau terpaksa menyambut hari kelahiran berjauhan dari keluarga, kem negara mengambil inisiatif menyambutnya bersama-sama di Dubai. Apa-apa pun ia menggambarkan keseluruhan mood di dalam pasukan negara yang amat positif pada ketika ini.

Tan Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya sejak Disember 2017, menggantikan jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada.

Prestasi skuad Harimau Malaya mulai menunjukkan peningkatan dengan corak permainan menarik sejak berada di bawah kendalian bekas jurulatih Kedah itu.

Selepas ini, skuad negara akan meneruskan baki saingan kelayakan bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam pada 7 Jun dan terakhirnya, berdepan Thailand pada 15 Jun.

Sudah tentu Tan Cheng Hoe mahu Safawi dan Sumareh beradu tenaga dan memperagakan ketangkasan masing-masing ketika berada di atas padang nanti.

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya:

Beberapa Pemain ‘Meletup’, Cheng Hoe Nasihat Jaga Emosi

Pesanan Untuk Tan Cheng Hoe & Harimau Malaya Sebelum Menentang UAE

Pemain Muda Yang Gagal Capai Potensi Diserap Tetap Ke Harimau Malaya

 

Leave a Reply