Pemain Muda Yang Gagal Capai Potensi Diserap Tetap Ke Harimau Malaya

harimau-muda-australia-harimau-malaya

Ramai pemain muda yang beraksi cemerlang bersama skuad muda negara gagal mencapai tahap sebaiknya untuk terus berkhidmat bersama Harimau Malaya.

Anda pasti dapat menyenaraikan sendiri pemain-pemain tersebut. Mungkin ada di antara mereka sama ada masih bermain tetapi tidak terpilih dalam skuad Harimau Malaya ketika ini ataupun mungkin ada antara mereka yang sudah ‘hilang’.

Berikut adalah senarai 11 pemain yang cemerlang ketika bersama skuad bawah umur negara mengikut posisi masing-masing, tetapi tidak diserap tetap bersama skuad senior atau ‘hilang’. Pembaca juga boleh senaraikan di ruangan komen.

Penjaga gol: Farhan Abu Bakar (Tiada pasukan)

Farhan Abu Bakar adalah antara penjaga gol yang pernah dianggap bakal pengganti Khairul Fahmi Che Mat satu masa dahulu untuk skuad negara di masa depan.

Sekitar 2016, beliau dan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan adalah pencabar kuat kepada penjaga gol nombor satu negara itu. Jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan ketika itu, Young Wai Huang turut mengakuinya.

Pertahanan tengah: Muslim Ahmad (Sri Pahang), Faisal Muhammad (Bersara), 

Muslim Ahmad dan Faisal Muhammad adalah gandingan bek tengah tinggi lampai dan besar dimiliki oleh skuad Harimau Muda satu masa dahulu. Gandingan ini dijangkakan akan menjadi fenomena di peringkat senior tetapi ia tidak berlaku sehingga kini.

Muslim Ahmad menyarung jersi Sri Pahang FC sejak 2017 dan kali terakhir bersama skuad kebangsaan pada 2015. Untuk Faisal Muhammad pula, pasukan terakhirnya adalah Melaka United dan terpaksa bersara selepas kemalangan jalan raya pada 2019.

Pertahanan kanan: Azrif Nasrulhaq (JDT)

Bek kanan berpotensi besar pada satu masa dahulu itu ketika ini bermain bersama JDT. Namun, dengan S. Kunanlan yang masih bertenaga dan juga kemasukkan Matt Davies ke pasukan pada awal musim lalu menyaksikan dirinya menjadi pilihan ke-3.

Berusia 30 tahun, adakah Azrif Nasrulhaq masih memiliki masa untuk ‘push’ dirinya menjadi pilihan utama di JDT seterusnya mungkin terpilih untuk mewakili skuad negara? Tampak seakan-akan sukar kerana pencabarnya adalah Matt Davies.

Pertahanan kiri: Fandi Othman (Kedah)

Fandi Othman adalah antara bek kiri yang boleh menjadi pemain sayap ketika bersama Harimau Muda. Beliau bersama Farhan Abu Bakar tersenarai dalam skuad Sukan Asia 2014 bersama-sama Azrif Nasrulhaq yang merupakan bek kanan yang berpotensi.

Beliau baru sahaja menyertai Kedah Darul Aman FC pada musim ini bagi menampung kekurangan pemain bek kiri yang dihadapi skuad Hijau Kuning selepas meninggalkan KL City FC. Beliau telah merekodkan 277 minit permainan dalam empat penampilan.

Pemain Tengah: Irfan Fazail (JDT), Gary Steven Robbat (JDT/Melaka United-Pinjam), Affize Faizal Mamat (Tiada pasukan)

Ketiga-tiga pemain tengah ini sangat menyerlah bersama skuad Harimau Muda negara ke kejohanan-kejohanan luar negara. Tetapi, kini hanya tinggal Gary Steven Robbat dan Irfan Fazail dilihat masih ada namanya di saingan liga iaitu bersama JDT.

Begitupun, Irfan Fazail yang dikhabarkan telah tiga kali mengalami ACL sudah jarang membuat penampilan bersama JDT II dan dilihat masih berjuang untuk terus beraksi. Sebagai ‘Copot’ Harimau Muda, ini antara kehilangan terbesar skuad negara.

Gary Steven Robbat adalah pemain istimewa di usia remajanya. Sangat ligat di jentera tengah mengatur asakan, kelibatnya itu semakin terhad mengikut peredaran usianya. Beliau pernah dihantar JDT ke Borussia Dortmund untuk berlatih selama tiga bulan.

Untuk Affize Faizal Mamat, beliau kini hanya bermain bola sepak secara amatur. Dalam temubual bersama Cakap Sukan awal tahun lalu, beliau seperti memberi gambaran mengalami penyakit misteri yang mengganggu kariernya sebagai pemain pro.

Penyerang sayap kanan: S. Kumaahran (JDT/Melaka United-Pinjaman)

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini dilihat kembali mendapat sentuhan di pasukan pinjamannya, Melaka United dalam saingan Liga Super. Peluang terhadnya untuk bermain di JDT telah memaksanya untuk keluar mencari minit bersama pasukan lain.

Musim ini, beliau telah merekodkan 918 minit permainan dalam 11 penampilan serta meledak tiga gol. Satu perkembangan positif buat pemain berusia 24 tahun itu selepas tiga tahun tinggalkan Pulau Pinang (kini Penang FC) tanpa meledak sebarang gol.

Penyerang sayap kiri: Wan Zaharulnizam Zakaria (Melaka United)

Boleh dikatakan antara prospek menarik satu masa dahulu, Wan Zaharulnizam Zakaria seringkali membarisi skuad muda negara bersama seorang lagi Wan iaitu Wan Zack Haikal. Mesra dipanggil ‘Kecik’, beliau kini masih bermain bersama Melaka United.

Pernah dilirik oleh kelab di Jepun, FC Ryukyu bersama-sama Wan Zack Haikal, namun segalanya tidak menjadi kenyataan apabila tempatnya diambil alih oleh Nazirul Naim.

Penyerang: Rozaimi Abdul Rahman (Kedah)

Selepas mengalami kemalangan yang hampir meragut kariernya, Rozaimi kembali bangkit selepas JDT mengambilnya untuk proses pemulihan. Sepanjang lima tahun di JDT, beliau telah kembali beraksi tetapi tidak cukup untuk memikat Tan Cheng Hoe.

Untuk itu, beliau memilih untuk meninggalkan JDT dan mencari pasukan baharu dalam misinya untuk bersama Harimau Malaya. Menyertai Kedah pada awal musim lalu, penyerang sensasi di usia remajanya itu masih gagal ke prestasi terbaiknya.

Penutup

Itu merupakan antara sebilangan pemain muda negara yang seangkatan dengan pemain-pemain senior yang bersama Harimau Malaya ketika ini, pada satu ketika dahulu. Ada di antaranya masih bermain dan ada di antara mereka yang ‘hilang’.

Selain yang tersenarai, terdapat juga nama-nama seperti Izham Tarmizi Roslan, Amer Saidin, Saiful Ridzuan Selamat, Izzaq Faris Ramlan, Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri yang juga merupakan antara bakat muda terbaik negara satu masa dahulu.

Anda tentu ada juga nama pemain lain yang menyerlah di usia  muda mereka tetapi sehingga kini tidak diserap tetap bersama Harimau Malaya. Siapa lagi yang anda rasa yang dahulu mereka itulah akan menjadi tonggak utama negara di masa depan?

Baca lagi artikel lain mengenai skuad kebangsaan:

XI Harimau Malaya: Adakah Harimau Selatan Telah Jadi Harimau Malaya?

https://semuanyabola.com/5-sebab-harimau-malaya-harus-optimis-mampu-raih-keputusan-positif/

Semua Pemain Skuad Kebangsaan Terima Hadiah G-SHOCK Edisi Harimau Malaya

Leave a Reply