Jika diimbas kembali beberapa tahun lalu, bekas pemain tengah kebangsaan iaitu Amirul Hadi Zainal pernah menggemparkan dunia bola sepak tempatan menerusi video yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dalam video yang diberi segmen #TEAMBOSSKU itu, Amirul merupakan antara pemain yang dipilih oleh MFL untuk mengumumkan kesebelasan utama pilihan beliau sendiri.
Namun, sesuatu agak mengejutkan apabila pilihan Amirul ketika itu dilihat sangat unik setelah beberapa pemain disebut beliau berada dalam posisi yang agak aneh.
Formasi 3-5-2 pilihan Amirul
Dengan asas formasi 3-5-2 yang diletakkan Amirul, jelas pemain ini menumpukan penguasaan bola dan serangan yang pertama kali digunakan oleh Carlos Bilardo pada era tahun 1980.
Lebih mengujakan, pelan tersebut berjaya membawa Argentina menjuarai Piala Dunia pada tahun 1986 dengan Diego Maradona menjadi antara pemain kunci kejayaan formasi tersebut.
This Antonio Conte football pic.twitter.com/fpjDgXwStF
— 𝗕 (@Brutalcfc) June 16, 2022
Formasi ini juga dilihat sangat popular ketika era ini apabila Antonio Conte antara pengurus di Eropah yang kerap menggunakannya sewaktu mengendalikan beberapa kelab termasuk Tottenham Hotspurs.
Barisan pemain dan posisi unik dipilih Amirul
Amirul telah menyenaraikan beberapa nama pemain pilihan beliau yang sangat terkenal dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dengan posisi penjaga gol ketika itu diberi kepada Adib Aizudiddin.
Walaupun jelas Adib sebelum ini beraksi selaku pemain tengah dan pertahanan, menurut Amirul beliau ada alasan tersendiri kerana pemain tersebut jelas mempunyai lompatan tinggi walaupun berfizikal rendah.
Tiga pemain pertahanan pilihan Amirul ketika itu pula terarah kepada Syazwan Zainon, Baddrol Bakhtiar, serta Rozaimi Rahman.
Agak unik pilihan Amirul buat ketiga pemain ini kerana mereka pada dasarnya bukan seorang pemain pertahanan tanpa memberi sebab yang jelas.
Dalam senarai pemain yang beraksi di tengah, Amirul Hadi mungkin memilih Indra Putra Mahayuddin dan Fazly Mazlan sebagai pemain tengah serangan dan sayap pertahanan.
Namun agak meragukan apabila Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah dipilih untuk beraksi di posisi tersebut walaupun jelas kedua pemain ini beraksi selaku pertahanan.
Paling unik apabila Amirul turut meletakkan salah seorang penjaga gol terbaik negara, Izham Tarmizi di posisi tersebut.
Detik terakhir untuk pemain penyerang pilihan Amirul, beliau meletakkan Shakir Shaari dan pertahanan kental, Razman Roslan untuk di posisi tersebut.
Kesimpulan
Masih lagi menjadi tanda tanya sehingga kini apakah alasan pemilihan pemain-pemain tersebut menurut Amirul sesuai diletakkan di posisi yang agak unik berbanding rekod mereka sebelum itu.
Tanpa sebarang jawapan sehingga kini kecuali hanya Adib Aizuddin sahaja diterangkan dengan agak teliti menjadikan senarai kesebelasan pilihan Amirul kekal menjadi persoalan buat semua penyokong bola sepak tanah air.
Semoga ada penjelasan dan kupasan dibuat selepas ini oleh beliau mengenai pemilihan tersebut yang dibuat.