Penjaring gol kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Negeri Sembilan FC, Fernando Forestieri dilihat telah menyertai keraian di curva penyokong, Boys Of Straits (BOS) dalam aksi yang berlangsung di Paroi.
Kita sudah dapat lihat bagaimana JDT meraikan gol dan kemenangan ke atas Negeri Sembilan dalam aksi pertama selepas kembali daripada saingan AFC Champions League (ACL) 2022 itu dan pemiliknya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sudah menjelaskan keraian yang ‘berlebihan’ itu.
Melalui IG Story terkini, TMJ berkongsi maksud sebenar kemenangan tersebut buat dirinya dan JDT.
“Celebrate Macam Menang Final” – TMJ Jelaskan Kepada ‘Haters’ Maksud Sebenar ‘Winning Mentality’
Selain itu, melalui satu perkongsian daripada BOS pula, dapat dilihat Forestieri juga sudah seakan-akan hilang pedoman. Beliau meraikan golnya bersama penyokong yang juga Ultras Johor itu dengan penuh keterujaan.
Beliau dilihat menjerit penuh keterujaan sehingga menarik-narik rambut salah seorang penyokong ketika melempiaskan kepuasannya meledak gol yang merupakan jaringan kemenangan buat Harimau Selatan.
“Remember, We Fight Till Finish!!! – Forestieri. Pemain Johor Pertama Gol Masuk Curva!”
Boys Of Straits (BOS)
Menurut BOS, Forestieri merupakan pemain pertama JDT yang masuk curva iaitu kawasan penyokong yang menggelarkan diri mereka ultras. Belum lagi pemain Johor lain yang pernah menjejak kaki untuk bersama mereka bersorak sama ada ketika perlawanan mahupun ketika meraikan jaringan gol kecuali pemain itu.
Ini bermakna sejak BOS tertubuh pada 2010 dan sejak JDT diwujudkan pada 2013, belum ada lagi pemain yang pernah menyertai mereka di curva. Ini membuktikan betapa Forestieri adalah pemain yang menjiwai penyokong. Beliau bukan hanya mahu beraksi bersama JDT, tetapi jika ditoreh tangannya, tak mustahil ia berdarah Johor!
Sebelum ini juga kita pernah dihidangkan dengan tangisan keterujaannya memenangi kejuaraan Sumbangsih bersama JDT di sidang media. Beliau dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa teruja bercampur sedihnya.
“Sepanjang saya bermain bola sepak walaupun di peringkat tertinggi seperti di Serie A dan Liga Kejuaraan England, saya belum pernah memenangi apa-apa. Jadi, piala ini adalah sesuatu yang sangat bermakna kerana sekurang-kurangnya saya ada memenangi sesuatu di dalam karier kerana bola sepak adalah minat serta kehidupan saya.
“Saya harap keluarga saya ada di sini untuk menyaksikan kejayaan malam ini, sudah tentu ia lebih bermakna. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih dan ejen yang membawa saya ke sini malah saya sedia mahu berikan lebih banyak kepada kelab ini.”
Fernando Forestieri, sidang media pasca perlawanan Sumbangsih 2022
Kita dapat lihat ketulusan hatinya. Dan bola sepak juga menurutnya adalah kehidupannya. Ini adalah ciri-ciri pemain yang boleh dipertimbangkan untuk dibawa untuk bersama pasukan. Beliau akan berhabis-habisan.
Bukan hanya meraikan sekadar ala kadar atau bersama rakan sepermainan sahaja, Forestieri tampak santai terus menyertai BOS di curva dan melaungkan kata-kata semangat kepada mereka. Ini yang penyokong tunggu-tunggu selama ini. Seperti mana Safee Sali yang menjadi Capo untuk Ultras Malaya sekitar tahun 2011.