Penyerang Selangor, Mohd Amri Yahyah menganggap gol yang dilakukan ketika berdepan Melaka dalam aksi Liga Super tempoh hari sememangnya berbeza dengan gol yang dijaringkan sewaktu menentang Manchester United pada tahun 2009.
Jika diimbas kembali aksi pemain berpengalaman itu pada 10 tahun lalu, gol yang dijaringkannya adalah menerusi hantaran daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum Amri melakukan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Manchester United, Edwin Van Der Sar.
Berbeza dengan gol terbarunya Sabtu lalu, Amri menyifatkan rembatan kaki kanannya dari luar kotak penalti adalah hasil bola lontaran ke dalam daripada Azreen Zulkafali untuk memperdaya penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.
8′ | GOL AMRI YAHYAH
Kapten @FASelangorMy menjaring gol kedua di Liga Super musim ini dengan sepakan yang menarik menentang Khairul Fahmi Che Mat.#LigaSuper2019#MELSEL#MFLLive pic.twitter.com/Qv5pZipPGu
— MFL LIVE (@MFL_Live) April 6, 2019
Bagi Amri, gol yang dianggap penuh gaya ketika menentang Melaka itu tidak memberi kepentingan peribadi kepadanya sebaliknya paling utama adalah kemenangan kepada pasukan secara keseluruhan.
Walaubagaimanapun, dia tetap menghargai semangat barisan penyokong yang masih lagi mengingati jaringan bersejarah dilakukannya, 10 tahun lalu.
“ Bagi saya, gol pada malam itu memang berlainan kerana menerusi lontaran bola ke dalam dan memang berbeza jika nak dibandingkan dengan aksi menentang Manchester United.
“ Tidak kira sama atau tidak, paling penting kemenangan untuk pasukan kerana saya tidak meletakkan keutamaan atas diri sendiri sahaja”, katanya.
Ditanya apakah rahsia Amri selaku pemain bola berpengalaman yang masih lagi bertenaga di atas padang pada usia 38 tahun, faktor pemakanan adalah jawapannya.
Jelas Amri, dia amat menitikberatkan aspek pemakanan bagi memastikan berat badan yang bersesuaian kerana ia mampu menjejaskan tahap kecergasan andai gagal mengawal pemakanan seimbang.
Untuk itu, tidak hairanlah pengendalinya, B. Sathianathan juga memuji kredibiliti yang dipamerkan Amri ketika di atas padang walaupun kini sudah meningkat usia.
“Keistimewaan Amri adalah ketenangannya ketika beraksi dan hanya dia sahaja yang mampu meledak gol sedemikian, bukan pemain lain.
“Sejak kemenangan berdepan Kuala Lumpur tempoh hari, Amri berjaya menjadi tunjang kebangkitan pasukan walaupun kami kehilangan Rufino Segovia ekoran kecederaan”, katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat itu, Amri meledak dua gol untuk membantu skuad Red Giants menewaskan Melaka 4-3.