Magis ‘Wak Am’ Ketuai Jaringan Pemain Tempatan Dominasi Gol Tercantik Minggu 8 MSL 2019

Minggu ke-8 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Satu perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu, dan dua pada Ahad – melengkapkan enam perlawanan pada minggu ini.

23 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan – terbanyak dalam mana-mana minggu saingan Liga Super setakat ini.

Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan, dan lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik untuk minggu ini. Menariknya minggu ini, empat daripada lima jaringan yang kami senaraikan, dihasilkan oleh pemain tempatan.

Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

5. Sean Selvaraj vs Melaka United

Sean Selvaraj muncul sebagai wira Red Giants dalam perlawanan menentang Melaka United – dengan dua jaringan minit akhir. Namun demikian jaringan pertama Sean dalam perlawanan ini mencuri perhatian kami.

Tatkala Selangor sedang ketinggalan 3-2 dan berhadapan dengan tekanan, gerakan beliau di far post tidak disedari pertahanan lawan, sebelum pemain gantian itu tiba-tiba menyelinap ke hadapan pemain lawan untuk menyambar hantaran lintang hasil sepakan penjuru Amri Yahyah. Nyata ia jaringan penting yang memberi semangat untuk Selangor memburu kemenangan.

4. Akhyar Rashid vs Felda United

Tatkala kedudukan terikat 1-1 dan perlawanan menjadi semakin panas akibat layangan kad merah kepada pemain Felda, JDT dilihat sebagai pasukan yang mempunyai kelebihan dan seharusnya mudah untuk menang perlawanan ini.

Namun ianya tidak akan terjadi tanpa ketenangan dari pemain muda ini. Tatkala Felda berkampung di kawasan sendiri untuk mempertahankan kedudukan, Akhyar tenang membawa bola masuk ke dalam kotak penalti, melepasi seorang pemain pertahanan lawan, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menghasilkan gol kedua untuk juara bertahan.

3. Safee Sali vs Pahang FA

Tua-tua keladi berisi. Mungkin itulah yang boleh kita ungkapkan untuk menggambarkan jaringan oleh Safee Sali dalam perlawanan ini. Dianggap veteran, Safee Sali pernah dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik pernah dilahirkan negara.

Jaringan beliau dalam perlawanan menentang Pahang ini mengingatkan kita kepada kebolehan yang beliau pernah tampilkan satu ketika dahulu. Bijak membaca hantaran Serginho dengan larian beliau, ‘lob’ cantik oleh Safee bukan jaringan biasa-biasa. Ia adalah jaringan yang amat klinikal, tenang dan bijak dari bekas penyerang negara itu.

2. Shahrel Fikri vs PKNS FC

Perak seri lagi, menyebabkan gelaran ‘pakar seri’ sinonim dengan juara bertahan Piala Malaysia ini. Namun mungkin ada perkara positif yang diambil oleh Perak pada minggu ini. Perlawanan menentang PKNS FC adalah penampilan ketiga Shahrel pada musim ini.

Dua jaringan dari dua perlawanan berturut-turut (satu gol Piala FA), seakan-akan petanda beliau mulai menemui sentuhan yang Perak tercari-cari sebelum ini. Bertukar hantaran dengan Wander Luiz di dalam kotak penalti sebelum melakukan sentuhan penyudah, jaringan oleh Shahrel adalah antara yang terbaik dihasilkan pada musim ini.

1. Amri Yahyah vs Melaka United

Tua-tua kelapa; semakin tua, semakin berminyak. Jaringan pertama beliau pada musim ini ialah ketika menentang Kuala Lumpur. Jaringan tersebut juga memberikan kemenangan pertama buat Selangor pada musim ini. Tanpa khidmat Rufino Segovia yang mengalami kecederaan, dan terpaksa disisihkan untuk tempoh masa yang lama, bermakna akan B. Sathianathan akan terus menagih kudrat Amri.

Tidak mengecewakan, anak jati Selangor kelahiran Tanjung Karang ini menghasilkan dua jaringan. Gol pertama beliau dan untuk Selangor ini pasti mengingatkan anda jaringan yang ‘hampir serupa, tetapi tidak sama’ ketika Amri beraksi untuk Malaysia menentang Manchester United – mengejutkan Edwin Van der Sar satu ketika dahulu.

Rumusan
Anda mempunyai pilihan lain untuk jaringan tercantik minggu ke-8 unifi Liga Super Malaysia 2019? Nyatakan pendapat anda kepada kami. Kami mahu mendengarnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN