Pierluigi Collina: Pengadil Legenda Yang Tegas Dan Digeruni Dari Itali

Bercerita tentang pengadil legenda, pastinya kami terus terbayang wajah Pierluigi Collina.

“Kamu ingat saya bergurau?”

Itu antara kata-kata yang seringkali diucapkan Pierluigi Collina ketika para pemain menganggap beliau sedang melakukan pengadilan yang kelakar.

Collina: Saya tak pernah gentar

Bercakap kepada laman UEFA pada 2012, pengadil legenda menyatakan sepanjang bertugas di atas Padang beliau tidak pernah gentar dengan mana-mana pemain termasuk bintang bola sepak dunia.

“Saya tidak akan sesekali terpengaruh ataupun rasa gentar untuk melayangkan kad sekiranya perlu. Mereka (pemain) tidak perlu membuang masa untuk mempengaruhi keputusan saya.”

Siapa tidak kenal dengan pengadil berasal dari Itali ini? Renungan matanya yang tajam dan wajahnya yang bengis membuatkan ramai pemain hanya mampu akur dan tunduk tengah keputusannya. Lihat apa yang dilakukan beliau ketika berhadapan dengan pemain nakal dan ‘bad boy’, Tomas Repka:

Collina menyatakan insiden melibatkan beliau dan Repka itu bukan contoh pengadil yang baik.

“Repka tidak mendengar ketika saya cakap lebih lembut supaya beliau kembali ke posisi. Repka terus agresif, dan saya terpaksa menolaknya.”

Selepas insiden itu Repka menyatakan beliau sangat terkejut. Jelas pemain itu pun merasa aura yang ada pada wajah Collina yang menjerit, menolak dan merenung beliau dengan matanya yang sangat tajam.

Di bawah ini adalah gambar beliau ‘berperang mulut’ dengan Colin Hendry yang mempertikaikan keputusannya. Collina menarik baju Kennet Andersson dan mahu Hendry jelaskan; kenapa pula dia (Hendry) tidak dapat menerima keputusan pengadil?

Hendry menarik baju Andersson sehingga carik.

Cabaran dan karier

Itali melahirkan ramai lagenda bola sepak. Di lapangan pengadilan pula Collina dianggap sebagai yang terbaik dalam sejarah mereka dan antara pengadil legenda yang terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Pada usia 24 tahun, beliau kehilangan kesemua rambutnya. Paling teruk beliau digantung tugasan daripada liga Itali kerana dikatakan tidak berpersonaliti menarik.

Collina berkata: “Pada ketika itu di Itali, mereka menganggap pengadil botak ini tidak menarik dan orang tidak suka tengok. Bagi mereka pengadil harus ‘sempurna’.”

Namun selepas itu beliau kembali bertugas selepas mendapat sokongan daripada ramai penyokong bola sepak yang menganggap ia satu tindakan mengarut oleh bola sepak Itali. Siapak kisah pasal paras rupa? Yang penting keterampilan dan kredibiliti ketika bertugas.

Dari Ekonomi ke lapangan pengadilan

Collina adalah pengadil yang dilahirkan di Bologna. Beliau merupakan pemegang Ijazah Ekonomi dari Universiti Bologna.  Ibunya adalah seorang guru dan ayahnya pegawai di Kementerian Pertahanan Itali.

Oleh kerana latar belakang ibu dan ayahnya, sedari kecil Collina hidup dalam rutin harian penuh tertib dan disiplin. Ayahnya sangat tegas.

Collina pernah memberitahu: “Seperti rakan saya yang lain, saya ketika kecil bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak. Tak ada seorang pun mengimpikan untuk menjadi pengadil.”

Ketika remaja beliau bermain dalam posisi tengah di dalam pasukan bola sepak. Beliau peminat pasukan Bologna ketika kecil.

Namun Collina akur bahawa dirinya tidak cukup bagus untuk menjadi pemain profesional – kerana di Itali sarat dengan bakat yang lebih hebat.

Collina memang seorang yang tegas – oleh sebab itu beliau dipanggil Kojak – oleh rakan-rakannya.

Selepas gagal menyertai beberapa akademi dan pasukan remaja di Itali, beliau akhirnya memutuskan untuk menjadi pengadil pada usia 17 tahun. Dan ternyata ianya satu pilihan ‘terpaksa’ yang tepat.

Kemuncak karier

Ini kerana ketika menjadi profesional beliau pernah dianugerahkan pengadil terbaik tahunan FIFA untuk 6 tahun berturut-turut.

Pengalaman beliau di atas padang sebagai pemain bola sepak dan juga kemampuan beliau untuk memahami ragam pemain – menjadi kekuatan utama Collina dalam pengadilan.

Selepas terlibat aktif menjadi pengadil, barulah Collina sedar bahawa pengadil ada cabaran yang sangat besar. Mereka menjadi orang tengah di lapangan pertempuran 2 pasukan.

Daripada menjadi pengadil Serie C2, beliau terus naik ke Serie C1 dan kemudiannya ke Serie A.

Beliau mengadili perlawanan Piala Dunia pertama pada temasya Piala Dunia 1998. Pada Jun 2002, Collina berada di kemuncak karier apabila dipilih menjadi pengadil final Piala Dunia – di antara Jerman dan Brazil.

Kahn berkongsi pengalaman beliau ketika diadili oleh Collina. Kahn berkata: “Collina pengadil berkelas dunia. Tiada keraguan lagi. Namun beliau tidak membawa nasib yang baik bukan?”, kata Oliver Kahn sambil berseloroh kerana ketika itu beliau menjadi mangsa Ronaldo.

Perlawanan sebelum itu, Kahn juga tewas ketika perlawanan UCL 1999 – dikejutkan kebangkitan minit akhir Man. United – serta aksi Jerman dibelasah England 5-1, Collina juga menjadi pengadil.

Dalam final UCL 1999, Collina pernah memberikan kata-kata semangat kepada Oliver Kahn dan rakan-rakannya untuk bangun dan mengakhiri perlawanan walaupun masa perlawanan sudah berakhir.

Para pemain Bayern bangkit kembali dan mahu menamatkan perlawanan dalam perjuangan terakhir.

Bercakap kepada The Telegraph pada 2008: “Saya bertuah kerana banyak mengadili perlawanan hebat. Salah satu daripadanya adalah final Piala Dunia dan seterusnya perlawanan Bayern lawan Man. United.”

“Saya akan selalu ingat detik, reaksi penyokong Man. United ketika gol kedua mereka – bunyi sorakan mengaum seperti singa.”

“Dan saya melihat reaksi para pemain Bayern yang tersungkur di atas padang kerana gol itu. Kontras sekali keadaan ketika itu. Anda berada di tengah-tengah dunia kebahagian dan kesedihan. Saya masih ingat wajah Lothar Matthaus yang menjeling trofi. Itu tak akan saya lupakan.”

Fasa akhir karier

Pada 2004, Collina terpaksa bersara kerana peraturan oleh UEFA ketika itu. Selepas itu FIGC menaikkan umur persaraan wajib kepada 46 tahun. Ramai yang menganggap keputusan itu kerana Collina. Ada pengadil terasa hati menyatakan Collina anak emas FIFA.

Namun Collina dilarang untuk mengadili perlawanan di Itali selepas beliau menandatangani perjanjian dengan Opel. Collina memutuskan untuk bersara penuh daripada karier pengadilan kerana isu tersebut.

Perlawanan kompetitif terakhir beliau adili adalah pada 24 Ogos 2005 – perlawanan kelayakan UCL – di antara Villareal dan Everton.

Itulah serba sedikit tentang Pierluigi Collina. Pengadil legenda yang tiada ganti. Ketika Itali dilanda skandal Calciopoli, ada 2 sahaja pengadil yang disahkan bersih iaitu Rosetti dan Collina.

Collina langsung tak tertarik dengan sebarang tawaran ketika itu – sedangkan ramai pengadil merasakan tawaran itu mustahil untuk ditolak.

Salah satu prinsip Collina adalah: “Anda perlu dihormati di gelanggang perlawanan bukan kerana orang takut kepada anda, tetapi kerena mereka percayakan anda.”

Oleh itu beliau tidak sesekali mahu para pemain dan pasukan yang beliau adili dikhianati.

Populariti Collina membuatkan beliau menjadi pengadil pertama menjadi muka hadapan dalam permainan Pro Evolution Soccer 3 – dan kekal satu-satunya sehingga kini.

Leave a Reply