Mengapa Victor Lindelof Dan Eric Bailly Boleh Cipta Semula Formula Gandingan Vidic-Ferdinand

Victor Lindelof pasti mengingati tarikh 13 April 2016. Selepas mendahului Benfica 1-0 dalam perlawanan pertama suku akhir UEFA Champions League 2015/2016, Bayern Munich berkunjung ke suku akhir kedua di Estádio da Luz, Lisbon dengan penuh yakin.

Meskipun mempunyai 68% penguasaan bola, mencatat 16 percubaan dengan 7 daripadanya tepat ke arah gol, Bayern hanya mampu seri 2-2 dengan Benfica.

Bayern mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2. Tetapi bagi Robert Lewandowski (yang hanya mampu mencatat 2 percubaan sepanjang aksi 180 minit), ada dua nama pemain Benfica yang bermain di fikirannya.

“[Jardel dan Lindelof] sangat bagus. Sukar untuk saya lepasi mereka. Saya tak kenal mereka sangat. Tapi mereka berdua adalah salah satu peningkatan kualiti yang ditunjukkan Benfica,” kata penyerang Poland itu.

(Photo by Alexander Hassenstein/Bongarts/Getty Images)

Dari prodigi Sweden ke pujaan Portugal

Ketika remaja 16 tahun Sweden lain sedang sibuk berpacaran, Lindelof sudah menjadi anggota kesebelasan utama pasukan divisyen ke-3 Sweden, Vasteras SK dan membantu kenaikan kelabnya ke divisyen ke-2 Sweden.

Vasteras SK tahu dengan adanya Lindelof, mereka mempunyai seorang permata. Dan ternyata mereka betul.

2 tahun kemudian, Benfica membeli pertahanan tengah muda tersebut dengan harga €60,000 (berserta beberapa klausa). Salah satu klausa tersebut menuntut Benfica untuk membayar Vasteras SK sebanyak €250,000 jika Lindelof:

  • bermain 10 perlawanan Primeira Liga dan
  • bermain 10 perlawanan UEFA Champions League

Klausa ini mungkin mengheret nama Lindelof di tengah-tengah pergaduhan antara Benfica dan Vasteras SK, tetapi perhatiannya tetap tak terganggu.

Biodata

Nama: Victor Lindelof
Umur: 22 (lahir pada 17 Julai 1994)
Tinggi: 1.87m
Kewarganegaraan: Sweden
Posisi: LCB, RCB, RB, DM
Bekas kelab: Vasteras SK (SWE), SL Benfica (POR)
Trofi dimenangi: Division 1 Norra (Vasteras SK), 3 kejuaraan Primeira Liga, 2 kejuaraan Taça de Portugal, 1 kejuaraan Taça da Liga, 1 kejuaraan Supertaça Cândido de Oliveira (Benfica), juara UEFA EURO Bawah-21 (Sweden)

Dari skuad bawah-19 ke senior

Bermula dari pasukan Benfica bawah-19, Lindelof kemudiannya menimba pengalaman selama 2 musim setengah di pasukan Benfica ‘B’.

Disebabkan kebolehannya memegang bola dengan selesa di kaki, Lindelof kadangkala disuruh bermain di posisi bek kanan, bek tengah dan tengah.

“Posisi saya adalah bek tengah. Saya pernah bermain sebagai bek kanan dan tengah semasa remaja. Tetapi posisi semulajadi saya adalah bek tengah. Saya rasa paling selesa di situ,” jelas Lindelof dalam temuramah pertamanya bersama Manchester United.

Menjelang pertengahan musim 2015/2016, Lindelof mendapat peluang pertamanya bersama skuad senior Benfica berikutan kecederaan Luisão dan Lisandro.

Bermain dalam sistem 4-4-2 bersama Jardel (gambar bawah) yang lebih berpengalaman, Lindelof membuatkan ramai penyokong jatuh cinta kepada ketenangan dan keselesaan beliau memegang bola di kaki selain kerja defensif yang bagus.

(Photo credit: PATRICIA DE MELO MOREIRA/AFP/Getty Images)

Menyedari beliau mempunyai perlindungan dari Jardel (CB) dan Ljubomir Fejsa (DM), Lindelof suka naik ke atas untuk membuat hantaran kepada jentera tengah dan serangan.

Dengan kehadirannya, penyerang Benfica tak perlu turun mengutip bola dan boleh kekal berada di kawasan final third lawan – sekaligus mengekalkan tekanan yang Benfica mahukan.

Pasangan tepat untuk Bailly

Eric Bailly boleh berbangga dengan cara bagaimana beliau pantas menjadi pemain kegemaran penyokong Manchester United. Laju, tiada kompromi, keras, gergasi di udara dan bijak merampas bola – Bailly mengingatkan peminat United dengan Nemanja Vidic.

Tetapi pertahanan tengah seperti Bailly hanya boleh menyerlah jika digandingkan dengan pemain yang lebih tenang, pandai membaca perlawanan, boleh turun bawah dan memberi perlindungan – seperti Rio Ferdinand.

Bonus jika pertahanan itu juga boleh memegang bola dengan selesa seperti Ferdinand.

Tugas ala Ferdinand inilah yang tidak boleh digalas oleh Phil Jones dan – sudah tentunya – Chris Smalling.

Malah ia juga bukan tugas sesuai untuk Michael Keane; pertahanan tengah Burnley yang dikaitkan dengan United pada musim panas ini.

Di Burnley, Michael Keane bertindak seperti Vidic. Pantas menutup ruang pemain lawan dengan agresif. Sementara itu Ben Mee pula turun bawah untuk memberi perlindungan kepada Keane.

Daley Blind pula selesa memegang bola. Tetapi mempunyai kekurangan dari segi saiz, kelajuan dan kelincahan untuk menjadi pasangan sempurna bagi Bailly.

Bolehkah Lindelof menjadi sebaik Ferdinand?

Ketika Benfica menentang Bayern Munich dalam siri 2 perlawanan suku akhir UEFA Champions League 2015/2016, Lindelof muncul pemain Benfica yang mencatatkan ketepatan hantaran paling tinggi.

Sumber: UEFA.com

Malah Lindelof meneruskan konsistensi beliau sebagai ‘ball playing centre back’ dengan menjadi pertahanan yang menunjukkan ketepatan hantaran paling tinggi dalam liga Portugal, Primeira Liga.

Kualiti teknikal Lindelof turut dibuktikan dengan kebolehannya mengambil sepakan percuma. Dalam temuramah pertamanya bersama Manchester United, beliau jelas tak keberatan untuk mengambil sepakan percuma jika diberi peluang.

https://streamable.com/ppz65

Masih terlalu awal sebenarnya untuk menilai sama ada Lindelof boleh menjadi ‘the next Ferdinand’ atau tidak. Beliau mempunyai kualiti sama seperti Ferdinand. Tetapi kini perlu membuktikannya pula dalam salah satu liga paling kompetitif di dunia.

Mana-mana penyokong Benfica yang turut menyokong Manchester United pasti akan memberitahu anda bahawa aksi Lindelof yang terbaik datangnya dari posisi pertahanan tengah kanan – posisi sama yang kini diisi oleh Bailly.

Jangan salah sangka. Lindelof masih boleh bermain sebagai pertahanan tengah kiri seperti yang dilakukannya pada musim lepas apabila bergandingan dengan Luisão di Benfica.

Tetapi untuk beraksi dengan baik di sebelah kiri padang, Lindelof perlu menguatkan kemahiran kaki kirinya terlebih dahulu. Malah ‘chemistry’ antara Lindelof dan Bailly juga perlu dipertingkatkan.

Ia boleh dilakukan. Tetapi ia menuntut masa dan kesabaran penyokong United.

Sepertimana masa dan kesabaran selama 6 bulan yang dilaburkan oleh penyokong United sebelum melihat Vidic dan Ferdinand menjadi salah satu pasangan pertahanan tengah terbaik di dunia antara 2006-2010.

Sumber:

1. Goncalo Lopes, DN Portugal (2016), “Jardel e Lindelöf são das melhores duplas que defrontei no último ano”

2. Manchester United, manutd.com (2017), LINDELOF DISCUSSES BEST POSITION AND STYLE

3. Alan Smith, The Guardian (2016), Why are Benfica refusing to pay a small Swedish club €250,000?

4. Squawka (2017), Player Rankings

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN