Marco Verrati menyifatkan Ligue 1 jauh lebih sukar berbanding dengan La Liga. Beliau turut berpendapat Real Madrid dan Barcelona tak mungkin akan senang-senang menang dengan 5-0 di Ligue 1.
Verratti kecewa dengan stereotaip orang di luar yang kerap memandang rendah Liga Perancis. Bercakap kepada Goal.com beliau tampil mempertahankan kualiti Ligue 1.
Ligue 1 Bukan Liga Lemah
“Saya mahu ambil kesempatan hari ini untuk bercakap tentang Ligue 1. Liga kami bukan sahaja kerap dikritik di luar negara tetapi juga kerap dikritik oleh orang di Perancis. Mereka kerap menganggap liga ini sebagai liga lemah.”
“Sebenarnya, Ligue 1 telah meningkat naik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kami menuju ke arah (direction) yang betul.”
Beliau mengakui terkejut dengan kualiti Ligue 1 ketika beliau tiba dari Itali.
“Saya akui tidak tahu banyak sangat tentang Liga Perancis ketika mula tiba di sini. Saya cuma tahu pasukan seperti Lyon.”
“Ini kerana mereka mempunyai pasukan yang membariskan pemain-pemain yang hebat. Semakin hari semakin banyak saya ketahui tentang kelab-kelab lain di sini. Maka saya semakin mengagumi kualiti mereka”
Ligue 1 Liga Yang Tinggi Kualiti Defensif
“Saya berani katakan, Ligue 1 adalah kejohanan yang semakin sukar pada hari ini. Dan Ligue 1 lebih fizikal berbanding dengan Serie A.”
Verratti juga memberikan kredit kepada Carlo Ancelotti yang banyak membantu pasukan PSG untuk naik ke tahap yang ada pada hari ini.
“Carlo selalu berpesan: ‘Jika anda gagal menumpukan perhatian sepenuhnya dalam perlawanan anda boleh kalah kepada sesiapa sahaja.'”
“Saya masih ingat, beberapa perlawanan awal kami dengan Carlo Ancelotti, kami tidak banyak menang dan seringkali seri.”
“Ia agak mengejutkan kerana saya tak menjangka kami akan begitu sukar. Di sini sangat berbeza daripada Itali. Mereka (Serie A) lebih bertaktikal namun Ligue 1 lebih fizikal.”
“England adalah liga yang kita semua kerap saksikan di tv. Jerman pula terkenal dengan budaya penyokong mereka yang luar biasa. Itali sinonim dengan taktik dan di Sepanyol pula teknik.”
“Jadi Saya rasa, perkataan yang paling tepat menggambarkan Ligue 1 adalah fizikal. Ketika anda cuba melepasi seorang pemain, ada 4 lagi akan mengejar anda. Semua orang boleh melakukan bentesan (tackle)”
“Saya masih ingat, ketika ketika bermain berhadapan dengan Aubameyang (ketika itu bermain di St. Etienne), saya bentes dia, dia kejar saya dan berupaya membentes saya kembali.”
“Di sini, pasukan dari bawah liga akan cuba bermain dengan kompak dan bertahan dengan disiplin. Sebab itu sukar untuk membolosi mereka.”
“Di Sepanyol, pasukan bawahan akan cuba bermain terbuka dan kurang menekankan kualiti ketika bertahan, itulah sebab Real Madrid dan Barcelona boleh menang besar dengan 5 atau 6 gol.”
“Kalau di sini, agak sukar untuk mencari ruang, kerana ia terlalu kecil. Jadi saya tidak rasa Real Madrid dan Barcelona akan senang-senang nak menang besar di sini.”
Baca juga : Zonal Marking Intensif Tinggi Dalam Futsal, Bagaimana Ia Berfungsi