Usah ‘Melompat’ Terlalu Awal Sampai Buat Keputusan Pecat Tan Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe Malaysia Aidil Sharin pecat 2022

Realitinya, Malaysia dipaksa bungkus awal musuh ketat, Indonesia daripada kempen Piala AFF Suzuki 2020, namun untuk ‘melompat’ terlalu awal dan buat keputusan pecat Tan Cheng Hoe dilihat terlampau tergesa-gesa.

Sebagaimana dalam artikel ‘Apa yang kau buat versi Piala AFF 2020‘, terdapat banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada aksi sumbang Harimau Malaya. Dan adakah semata-mata ia salah Cheng Hoe seorang?

Oleh itu, ini antara faktor mengapa Cheng Hoe perlu dikekalkan sebagai pengendali skuad kebangsaan.

Safawi Rasid Dan Syafiq Ahmad Adalah Penjaring Utama Harimau Malaya 2019

Skuad terbaik 2019 adalah hasil olahannya

Semua masih terkenang prestasi skuad kebangsaan pada 2019. Sepanjang tahun itu, Malaysia menang sembilan daripada 13 perlawanan. Dalam pada itu, Malaysia melalui tujuh aksi kelayakan Piala Dunia 2022.

Cheng Hoe adalah pengendali ketika itu dan beliau mampu menghasilkan keputusan yang baik jika segalanya dalam keadaan terbaik sama ada dari segi pilihan pemain dan persediaan pasukan. Ia tidak berlaku dalam persediaan ke Piala AFF kali ini, malah pilihan pemain juga seperti bukan yang terbaik dimiliki Malaysia.

Dengan apa yang ada di tangannya dan dengan masa yang terhad diberikan kepadanya, tidak wajar untuk kita meletakkan kesalahan penuh ke atasnya. Mengapa ia berlaku? Hanya kem skuad kebangsaan yang tahu.

Walaupun Cheng Hoe agak skeptikal dalam pilihan formasinya apabila kekal dengan bentuk yang sama setiap aksi, tidak seperti pengendali lain yang mengubah pendekatan taktikal berdasarkan keperluan perlawanan, namun beliau tahu apa yang terbaik yang boleh dihasilkannya menggunakan formasi kegemarannya.

Buktinya, Malaysia berada di kemuncak prestasi pada 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Penjadualan liga adalah di luar kawalannya

Malaysia hanya ada kurang lebih dua hari untuk merancang sesuatu apabila semua pemain hanya dapat berkumpul pada 1 Disember, sejurus berakhir saingan Piala Malaysia 2021. Dan pada 3 Disember, Malaysia perlu memutuskan senarai pemain terakhir untuk dibawa ke Piala AFF dan bertolak ke Seberang Tambak.

Adakah itu tempoh masa yang mancukupi untuk persediaan sesuatu kejohanan? Menurut Shukor Adan dalam rancangan [email protected] di Astro Arena sebelum ini, dua minggu adalah tempoh masa terbaik untuk kem kebangsaan dan ia menerima sokongan Safee Sali. Tetapi, Cheng Hoe hanya ada maksimum dua hari.

MFL: “Jadual Skuad Kebangsaan & Kuarantin Yang Ganggu Liga Tempatan”

Namun, apabila operator liga, Malaysian Football League (MFL) menafikan jadual liga punca kepada prestasi buruk Harimau Malaya, adakah ia wajar? Ya, dunia dilanda pandemik tapi bagaimana pasukan-pasukan yang mara ke separuh akhir kali ini menyusun jadual liga mereka? Semua tahu, tahun ini Piala AFF dijalankan.

Jurulatih luar negara boleh selesaikan masalah?

Berhasilkah jika kita lantik pengendali luar negara? Hanya beberapa nama sahaja yang mungkin boleh dikenang membawa Harimau Malaya dengan baik antaranya Karl-Heinz Weigang – itupun di peringkat Sukan SEA.

Malah, Nelo Vingada, jurulatih dari Portugal adalah jurulatih yang memiliki rekod terburuk dalam tempoh 30 tahun dalam tujuh perlawanan awal kendaliannya. Allan Harris juga melakar rentetan 10 perlawanan tanpa kemenangan skuad kebangsaan sejak 2003 hingga 2004 – terpanjang dilalui skuad Harimau Malaya.

Vietnam berjaya dengan jurulatih luar negara, Park Hang-seo yang dilantik sejak Oktober 2017, tempoh masa yang hampir sama dengan pelantikan Cheng Hoe. Namun, sebaliknya untuk Thailand apabila mereka gagal di bawah kendalian Akira Nishino, jurulatih kelahiran Jepun yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

Jurulatih yang membawa mereka bangkit ketika ini iaitu Alexandre Polking juga adalah jurulatih luar negara, namun, beliau berada dalam arena bola sepak Gajah Perang untuk tempoh kurang lebih selama tujuh tahun.

Adakah ia akan selesaikan masalah? Adakah skuad negara akan bertambah baik? Ia bukan jaminan pasti.

Rumusan

Oleh itu, kita harus memberi peluang kepada Cheng Hoe. Lagipun, kontraknya adalah sehingga berakhir kelayakan Piala Asia 2023 iaitu pada hujung tahun depan. Prestasi buruk Harimau Malaya kali ini bukan tanggungjawabnya seorang, namun ia perlu digalas semua pihak termasuklah operator liga, MFL.

Adakah pembaca masih merasakan yang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar pecat Cheng Hoe?

Kita harapkan skuad negara akan bangkit lebih garang dalam pusingan kelayakan Piala Asia selepas ini.

Leave a Reply