Selangor FC & JDT Pamer Sikap Terpuji Kerah Bantuan Untuk Mangsa Banjir

Keadaan banjir yang melanda kebanyakkan tempat di Semenanjung Malaysia baru-baru ini dianggap sebagai antara yang terburuk pernah melanda negara sejak banjir besar pada 1971.

Ratusan ribu penduduk terjejas dan kehilangan harta benda. Lebih memeritkan jumlah kematian turut meningkat saban hari. Satu perkara yang pasti, musibah yang melanda negara pada kali ini menuntut rakyat Malaysia untuk bersatu hati – tampil sebagai barisan hadapan untuk membantu satu sama lain.

Rakyat Malaysia jadi wira

Turut dilaporkan dalam laporan pasca banjir ialah bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengenal kaum dan agama tampil menjadi wira kepada mangsa yang terlibat.

Bantuan daripada segenap pelusuk tanah air, dari utara ke selatan, termasuk juga dari Sabah dan Sarawak tiba untuk meringankan beban mangsa.

Ada yang membantu dengan wang ringgit dan disalurkan ke badan-badan bukan kerajaan (NGO). Tidak kurang juga yang turun padang mengerah kudrat membantu mangsa membersihkan kediaman yang terjejas.

Inilah sebenarnya gambaran sebenar rakyat Malaysia yang harus kita banggakan bersama. Bukan perbezaan yang dicari, tetapi kebersamaan ketika menghadapi kesukaran itu membuktikan kita mampu menjadikan negara ini menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami oleh generasi yang akan datang.

Selangor FC dan JDT lancar bantuan

Turut tidak ketinggalan meringankan beban mangsa banjir ialah dua kelab bola sepak di Liga Malaysia, JDT dan Selangor FC.

Umum mengetahui, Lembah Klang terutamanya Selangor adalah antara tempat yang paling teruk terjejas akibat bencana banjir kali ini.

Selangor FC dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Selangor Youth Community (SAY) turut tidak ketinggalan turun padang bersama-sama penyokong skuad The Red Giants membersihkan kediaman penduduk yang terkesan. Turut turun padang adalah DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Bagi anda yang berada di Lembah Klang, lebih-lebih lagi jika anda adalah salah seorang penyokong pasukan Merah-Kuning, anda boleh menghubungi pihak Selangor FC sekiranya berminat untuk menjadi salah seorang sukarelawan.

Antara tempat yang kini giat dibersihkan oleh Selangor FC adalah di Padang Jawa. Sudah pasti akan ada banyak lagi tempat yang memerlukan khidmat pembersihan selepas ini.

JDT pula tampil sebagai kelab bola sepak pertama yang menghulurkan bantuan banjir, termasuk ke negeri Selangor.

Berdasarkan ciapan yang dikongsi beberapa hari lalu, pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah menghubungi Menteri Besar Selangor, YB Amirudin Shari untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Daerah Hulu Langat yang terjejas teruk turut menjadi tumpuan TMJ dan Johor Southern Volunteers dalam menghulurkan bantuan.

Selain itu TMJ turut mengambil inisiatif menggunakan duit poket sendiri untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi mangsa banjir di Segamat, selain memastikan kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan bencana yang lebih teruk di setiap daerah di negeri Johor.

Wajar dipuji

Apa yang dilakukan oleh Selangor FC dan JDT ini sewajarnya dipuji. Kita mungkin musuh ketika berada di dalam padang.

Lebih daripada itu, nilai kemanusiaan juga harus menjadi perkara terutama – saling bantu-membantu – terutamanya ketika musibah melanda.

Leave a Reply