MFL: “Jadual Skuad Kebangsaan & Kuarantin Yang Ganggu Liga Tempatan”

Stuart Ramalingam CEO MFL skuad kebangsaan liga domestik

Nampaknya, bila ada pihak yang cuba mengatakan jadual Liga Domestik menjadi punca perancangan skuad kebangsaan caca merba, operatornya, Malaysian Football League (MFL) tampil menjelaskan yang sebaliknya.

Semuanya BOLA turut mempersoalkan penjadualan liga dalam artikel, ‘Apa Yang Kau Buat versi Piala AFF 2020‘ yang menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mempunyai masa yang terlampau singkat, tidak sampai seminggu selepas perlawanan terakhir Piala Malaysia untuk persediaan ke kejohanan tersebut.

Piala Malaysia berakhir pada 30 November dan aksi pertama Piala AFF untuk Malaysia adalah pada 6 Disember, apa yang mampu Cheng Hoe lakukan? Tiada aksi persahabatan mampu dicaturnya untuk melihat kesesuaian pemain dan percaturannya untuk ke saingan tertinggi di Asia Tenggara itu? Jadi, salah siapa pula agaknya?

‘Apa Yang Kau Buat’ Versi Piala AFF 2020 Selepas Malaysia Diaibkan & Dihantar Pulang Indonesia

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, jadual perlawanan antarabangsa dan pandemik COVID-19 yang menjadi punca. Katanya, “Bukan jadual tempatan menjadi gangguan kepada [persiapan] pasukan kebangsaan [tapi] jadual kebangsaan dengan kuarantin mengganggu liga tempatan.”

“Tetapi ia [melibatkan] kerjasama [di antara] dua parti dalam industri bola sepak, sedikit tolak ansur diperlukan untuk liga dihentikan. Bukan dua minggu tetapi ia mengambil masa sebulan kerana kuarantin juga memakan masa. Ia memerlukan kerjasama di antara MFL dan pasukan kebangsaan untuk menentukan jadual liga.

“Bukan senang [mengatur jadual] berikutan dua tahun pandemik melanda sepanjang 2020 dan 2021. Mungkin ada perdebatan tentang kekangan jadual. Tapi kita perlu realistik kerana sedang dalam (suasana) pandemik selain perintah kawalan pergerakan (PKP),” ulasnya panjang lebar yang dipetik daripada Stadium Astro.

Bagaimana pasukan lain boleh membuat persediaan awal sebelum ke Piala AFF? Malah ada yang sempat jalani aksi persahabatan di luar negara. Adakah jadual perlawanan antarabangsa dan pandemik tidak menjejaskan mereka? Seperti Vietnam, kita tahu Liga Domestik mereka telah dibatalkan sejak Mei lalu akibat pandemik.

Singapore Premier League pula telah berakhir sejak 10 Oktober lalu dan mereka menjalani persediaan panjang sehingga ke luar negara. Liga 1 Indonesia pula masih berlangsung di saat Piala AFF berjalan dengan mereka membuat ketetapan hanya dua pemain dari setiap pasukan dibenarkan untuk dipilih mewakili skuad negara.

Begitupun, untuk Thailand, sedikit berbeza. Thai League baru rehat dan mereka ketika ini di tengah musim 2021/2022. Perlawanan terakhir liga adalah pada 28 November dan mereka baru sahaja berkumpul di kem skuad kebangsaan sebagaimana Malaysia – hujung November. Bezanya kem Malaysia bermula sedikit awal.

Kem Harimau Malaya bermula pada 22 November, dibahagikan kepada tiga peringkat, mengikut pencapaian pasukan di Piala Malaysia 2021. Jika terkeluar di peringkat suku akhir, mereka yang paling awal akan sertai kem skuad negara. Namun, mereka dapat berkumpul penuh pada 1 Disember, sejurus berakhirnya Piala Malaysia.

Itu sebahagian persediaan pasukan yang telah mara ke separuh akhir kecuali Malaysia yang telah tersingkir di peringkat kumpulan. Walaupun Malaysia dan Thailand memiliki tempoh persediaan yang hampir sama iaitu dijalankan pada saat-saat akhir, namun mereka dapat senaraikan hampir semua pemain terbaik mereka.

Leave a Reply