Unai Emery semalam telah mengumumkan beliau akan meninggalkan juara Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) selepas tamat musim ini.
Walaupun membantu kelab Paris itu untuk kejuaraan Ligue 1 kelima di dalam tempoh enam tahun, Emery sah akan meninggalkan posisi beliau di PSG setelah kontrak selama dua tahun untuk berada di Parc des Princess tidak akan diperbaharui.
Unai Emery menyertai PSG pada 2016 daripada kelab Sepanyol, Sevilla.
Satu kenyataan media daripada Unai Emery turut dikeluarkan berhubung perkara tersebut, dan pengurus berusia 46 tahun itu berkata:
“Saya telah berbicara kepada para pemain mengenai keputusan ini. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada presiden kelab, Nasser Al Khelaifi; Pengarah Sukan, Antero Henrique; semua penyokong PSG dan setiap pemain yang beraksi bersama pasukan ini sejak dua musim yang lalu.”
PSG sekali lagi mengalami kekecewaan di pentas eropah pada musim ini. Kelab tersebut mara sehingga ke peringkat 16 pasukan terbaik pertandingan UEFA Champions League (UCL), namu dikecewakan oleh juara bertahan, Real Madrid walaupun telah melabur tinggi untuk pemain baharu pada musim panas sebelumnya.
Ketibaan Neymar dari Barcelona dengan nilai perpindahan rekod dunia mencecah £200 juta, diikuti dengan perjanjian membawa Kylian Mbappe secara pinjaman bermakna PSG sebelum ini adalah antara pasukan pilihan untuk mengungguli pertandingan elit eropah itu.
Dan sepanjang tempoh dua musim berada di Parc des Princes, Emery telah membantu PSG menjuarai liga dan tiga piala domestik.
Dan setelah mengesahkan kejuaraan Ligue 1 pada minggu lalu, Emery mampu menambah koleksi kejuaraan piala bersama PSG apabila bakal berhadapan pasukan dari divisyen ketiga Perancis, Les Herbies di perlawanan akhir Coupe de France pada 8 Mei akan datang.