Dua hari lagi Stadium Olimpik di Baku, Azerbaijan akan menjadi tumpuan peminat sukan bola sepak dunia untuk perlawanan akhir UEFA Europa League (UEL) 2018/19. Dua kelab Inggeris, Chelsea dan Arsenal akan bertemu sesama sendiri untuk dinobatkan selaku juara pertandingan.
Terdapat beberapa fakta menarik mengenai perlawanan akhir pada kali ini. Pertama, ia akan menemukan dua kelab London – menjadikan perlawanan akhir ini seolah-olah seperti perlawanan derbi. Dua kelab London yang hanya dijarakkan sejauh 37 km, kini akan melakukan perhitungan di arena yang terletak 2835 km dari bandar metropolitan itu.
Ini juga merupakan perlawanan akhir UEFA Europa League ketiga dalam sejarah yang menemukan dua pasukan dari sebuah negara – sejak dijenamakan semula daripada Piala Eropah pada 2008. Porto vs Braga (2010/11), Atletico Madrid vs Athletic Bilbao (2011/12) adalah dua perlawanan akhir yang menyaksikan pertemuan dua kelab dari dua negara sebelum ini.
Bagi kelab Inggeris, pertemuan diantara Chelsea dan Arsenal adalah yang kedua seumpamanya sejak pengenalan Piala Eropah pada 1971. Tottenham Hotspur menewaskan Wolverhampton Wanderers dalam dua aksi perlawanan akhir perlawanan akhir yang diadakan secara timbal balik pada ketika itu
Di sebalik semua ini, penganjuran pada kali ini sedikit sebanyak terjejas akibat beberapa isu yang dianggap kontroversi.
Sisi gelap bola sepak moden
Tanyakan sahaja kepada mana-mana penyokong bola sepak. Impian terutama semestinya ialah untuk menyaksikan sendiri pasukan kesayangan beraksi di perlawanan akhir. Bukankah kerana itu wujudnya terma ‘bangsa final’ seperti kita di Malaysia. Namun bukan itu perkara yang berlaku menjelang perlawanan akhir UEFA Europa League yang akan berlangsung di Stadium Olimpik, Baku ketika peruntukkan tiket diumumkan.
Daripada 68,000 keseluruhan kapasiti stadium tersebut, Chelsea dan Arsenal hanya memperolehi 6,000 keping tiket masing-masing untuk diagihkan kepada penyokong mereka. Tiket selebihnya (anggaran 56,000 tiket) adalah tiket koporat, yang akan diagihkan oleh UEFA kebanyakkannya untuk penaja, badan-badan koporat, dan pegawai-pegawai badan gabungan yang lain. Inilah sisi gelap bola sepak.
Penyokong tidak pernah jadi keutamaan
Hanya 6,000 penyokong Chelsea dan Arsenal dari London yang akan hadir ke Stadium Olimpik Baku yang berkapasiti 68,000 penonton pada awal pagi Jumaat ini – selepas laporan mengatakan kedua-dua kelab memulangkan 50% tiket perlawanan yang tidak terjual. Dari segi peratusan, ini bermakna hanya 8.8% yang berada di stadium di perlawanan akhir itu nanti adalah penyokong sejati kedua-dua kelab London itu.
Faktor utama menyebabkan penyokong tidak rela ke Baku untuk menyaksikan perlawanan akhir ini ialah kos. Jarak perjalanan yang jauh sudah menjadi satu masalah buat mereka. Jika sebelum ini purata perjalanan untuk seorang adalah lebih £1,000 ataupun lebih RM5,300, hari ini ia meningkat lima kali ganda selepas kenaikan pelbagai jenis kos termasuk penginapan. Ianya dianggap sangat tidak munasabah.
Pengaruh politik dalam bola sepak
Selain daripada isu tiket, tindakan pemain tengah Arsenal, Henrikh Mkhitaryan menarik diri daripada skuad Arsenal untuk ke Baku juga merupakan salah satu isu yang menyelubungi perlawanan akhir ini. Mkhitaryan bertindak sedemikian disebabkan isu keselamatan – walaupun Azerbaijan FA sebelum ini memberi jaminan keselamatan kepada Arsenal dan pemain tersebut.
Mkhitaryan adalah pemain yang berasal dari Armenia, negara yang mempunyai konflik politik bersama Azerbaijan sejak sekian lama. Walaupun UEFA turut dikecam kerana tidak sensitif dengan isu sebegini. Di dalam kes ini, Mkhitaryan bukan satu-satunya yang menjadi mangsa keadaan. Penyokong Arsenal yang mempunyai keturunan Inggeris-Armenia turut tidak diberikan visa oleh kerajaan Azerbaijan untuk ke Baku. Semua ini membuktikan bola sepak tidak boleh lari daripada pengaruh politik.
Penutup
Berbaki dua hari sahaja lagi, timbul kerisauan daripada UEFA, perlawanan akhir pada kali ini bakal menjadi yang terburuk dalam sejarah penganjuran pertandingan. Kemungkinan stadium tidak akan dipenuhi oleh penyokong juga semakin menjadi kenyataan – apabila terdapat penaja yang memulangkan sebahagian daripada tiket yang gagal untuk diedarkan.
Ironinya lokasi penganjuran sudah ditetapkan dua tahun lebih awal. Tidak boleh dipastikan apakah niat di sebalik tindakan UEFA memilih Azerbaijan sebagai lokasi perlawanan akhir pertandingan ini pada ketika itu. Apa pun atmosfera ketika perlawanan akhir itu nanti, biarlah bola sepak yang ditampilkan Chelsea dan Arsenal akan terus menjadi tumpuan utama.