Peluang Chelsea untuk mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 tampak begitu sukar untuk direalisasikan selepas tunduk 0-3 di tangan Bayern Munich pada aksi pertama peringkat 16 yang berlangsung di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Beraksi di gelanggang lawan langsung tidak mengganggu rentak skuad bimbingan Hans-Dieter Flick yang mempamerkan corak permainan berkualiti sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Perancis, Clement Turpin.
Ketika perlawanan baru memasuki minit pertama, Thomas Muller sudah mula mengancam kubu Chelsea menerusi serangan yang bagaimanapun berjaya dihalang penjaga gol kelahiran Argentina, Wilfredo Caballero.
Caballero menjadi watak penting buat Chelsea pada babak pertama apabila beliau menafikan dua percubaan terbaik yang dimiliki peledak berbisa Bayern Munich, Robert Lewandowski.
Peluang pertama Lewandowski itu menjelma pada minit ke-15 selepas beliau melepasi perangkap ofsaid dan hanya berhadapan dengan Caballero dalam kawasan penalti, namun percubaan kaki kirinya dihalang dengan baik oleh penjaga gol veteran tersebut.
Caballero sekali lagi menghampakan Lewandowski pada minit ke-28 apabila dengan dengan tenang beliau menangani situasi ‘1v1’ susulan kesilapan di kawasan sendiri dilakukan Ross Barkley.
Bayern Munich yang terus bernafsu memburu jaringan pendahuluan sekali lagi kecewa setelah tandukan Muller ketika beliau tidak dikawal pertahanan Chelsea sekadar singgah di palang gol.
9 – Robert Lewandowski has scored nine away goals in the Champions League this season; the joint-most by a player in a single campaign, along with Cristiano Ronaldo in 2013-14. Invader. #CHEBAY pic.twitter.com/VS05SuBX7G
— OptaJoe (@OptaJoe) February 25, 2020
Chelsea yang kelihatan begitu bergelut untuk mempamerkan corak permainan terbaik mereka turut memiliki untuk membuka tirai jaringan menerusi Marcos Alonso pada lewat separuh masa pertama. Percubaan kaki kiri dalam kawasan penalti diledakkannya berjaya ditepis keluar Manuel Neuer.
Keampuhan wakil dari Jerman itu nyata tidak dapat dikekang anak buah Frank Lampard pada separuh masa kedua setelah mereka berjaya mencipta tiga jaringan bermula pada minit ke-51 menerusi Serge Gnabry.
Gol tersebut berpunca daripada gerakan pantas menarik antara Gnabry dan Lewandowski yang kemudiannya disudahkan dengan baik pemain berusia 24 tahun itu bagi membuka tirai jaringan.
Gnabry selepas itu hanya memerlukan tiga minit untuk menambah jaringan kedua yang turut membabitkan kombinasi beliau bersama Lewandowski hasil satu serangan balas pantas.
Selepas dua bantuan jaringan dihasilkannya, Lewandowski turut meletakkan nama selaku penjaring apabila beliau dengan tenang menolak masuk bola susulan hantaran lintang cantik dilakukan Alphonso Davies pada minit ke-76 untuk menghadiahkan kemenangan 3-0 buat Bayern Munich.
Bayern Munich akan menanti kehadiran Chelsea di Allianz Arena pada aksi kedua, 19 Mac nanti.
Kredit foto: Bayern Munchen