UCL 2019/20: Barcelona Bawa Pulang Kelebihan Gol Tempat Lawan

Barcelona

Jaringan penyamaan dihasilkan Antoine Griezmann memberikan kelebihan jaringan di tempat lawan buat Barcelona selepas terikat 1-1 menentang Napoli pada aksi pertama pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 yang berlangsung di San Paolo, awal pagi tadi.

Napoli nyata menghadirkan kesukaran buat Barcelona pada babak pertama apabila pasukan pelawat itu tidak berupaya untuk menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol mereka yang dikawal David Ospina walaupun The Blaugrana lebih banyak mendominasi permainan.

Ketika Barcelona asyik mengawal permainan, Dries Mertens membuatkan skuad bimbingan Quique Setien tersentak selepas percubaannya pada minit ke-30 berjaya membuka tirai jaringan yang diharapkan.

Gol tersebut berpunca daripada kegagalan pemain pertahanan kiri Barcelona, Junior Firpo mengawal bola dengan baik yang terus memberikan ruang buat Piotr Zielinski untuk melakukan hantaran kepada Mertens.

Pemain skuad antarabangsa Belgium itu kemudiannya melakukan percubaan dari luar kawasan penalti yang hanya mampu dipandang penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen pada minit ke-30 bagi melonjakkan kegembiraan buat para penyokong Napoli.

Kelebihan satu jaringan buat tuan rumah itu kekal hingga tamat separuh masa pertama. Malang bagaimanapun menimpa Napoli selepas Mertens terpaksa dikeluarkan pada minit ke-54 susulan kecederaan yang dialaminya.

Hanya berselang empat minit kemudian, Antoine Griezmann kembali mengikat kedudukan apabila beliau yang menerima hantaran lintang daripada Nelson Semedo, tidak berdepan masalah bagi menolak masuk untuk gol penyamaan.

Napoli terlepas peluang untuk sekali lagi di hadapan selepas dua percubaan terhidang dinafikan dengan cemerlang oleh ter Stegen dan salah satu peluang tersebut diperoleh Jose Maria Callejon pada minit ke-63 ketika beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol kelahiran Jerman itu.

Kedua-dua pasukan selepas itu terus ketandusan jaringan dan Barcelona terpaksa bermain dengan 10 orang ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan setelah Arturo Vidal diperintah keluar padang berikutan kad kuning kedua diterimanya.

Dengan persaingan yang masih lagi terbuka, menarik untuk disaksikan kesudahan perlawanan kedua di Nou Camp pada 19 Mac nanti.

Kredit foto: UEFA Champions League

Leave a Reply