Terengganu boleh dianggap sebagai pasukan yang sangat aktif ketika ini dalam melahirkan ramai pemain muda berkualiti dan sudah pun dibuktikannya sejak beberapa musim di pentas domestik serta antarabangsa.
Kejayaan Hairuddin Omar untuk membawa barisan muda Sang Penyu melakar kejuaraan Piala MFL pada tahun lalu menyaksikan program pembangunan mereka berada di tahap cukup menyakinkan.
Apatah lagi pengendali skuad utama Terengganu iaitu Tomislav Steinbruckner sendiri menjadi antara yang begitu mesra dengan penggunaan pemain muda sehingga tidak kisah mengetepikan tonggak import di bangku simpanan.
Melihat kepada senarai panggilan kebangsaan baru-baru ini, nama pemain muda Terengganu antara yang begitu mencuri tumpuan baik bersama skuad senior atau pasukan kebangsaan B-23.
Untuk skuad senior sahaja menyaksikan dua pertahanan kental Terengganu yang berusia 23 tahun ke bawah iaitu Azam Azmi Murad serta Safwan Mazlan terpilih menyertai kem latihan pusat untuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Hanya Rahadiazli Rahalim sahaja pemain berusia 23 tahun Terengganu yang kini diletakkan dalam senarai bersedia untuk skuad utama Harimau Malaya.
Malah ketiga pemain tersebut juga bakal membarisi skuad B-23 kebangsaan untuk persiapan sebelum mereka mengharungi saingan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung tidak lama lagi jika dilepaskan pasukan senior Malaysia.
Beralih ke skuad B-23 negara pula, nama pertahanan muda meningkat naik iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili terus menjadi sandaran penting buat Juan Torres Garrido apabila dirinya terpilih menyertai kem latihan pusat tersebut bersama Muhammad Faris Rifqi Abdul Rashid.
Sementara itu, dua lagi pemain muda Sang Penyu iaitu M. Rakesh serta Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid pula diletakkan dalam senari menunggu dan bersedia untuk dipanggil pengendali jika situasi memerlukan.
Jika diimbas pada tahun lalu, Terengganu jelas mengoptimumkan sebaik mungkin pemain tempatan serta masih muda untuk terus diperkenalkan dalam barisan skuad utama atau saingan MFL.
Lihat sahaja aksi ditampilkan oleh Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul Fazili yang langsung tidak kekok beraksi serta turut menjadi sandaran penting Terengganu ketika saingan akhir Piala Malaysia 2023 serta kejohanan AFC.
Dua pemain tersebut kini dilihat sudah pun bersedia sepenuhnya untuk menjadi pemain penting buat skuad utama Terengganu musim ini dan juga menarik perhatian kejurulatihan kebangsaan bagi perlawanan antarabangsa seterusnya.
Pandangan anda, adakah konsistensi Terengganu dalam melahirkan bakat muda dapat dikekalkan pada saingan musim ini?