Turkmenistan Akui Gerun Dengan Kualiti Jentera Serangan Malaysia

Turkmenistan

Bakal berdepan Malaysia buat pertama kali esok di Bukit Jalil, Turkmenistan akui yang mereka mempunyai rasa gerun untuk bertemu Harimau Malaya.

Menurut ketua jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldiyev, beliau mengakui yang pasukannya gerun untuk bertemu Malaysia memandangkan skuad kendalian Kim Pan-gon itu menunjukkan prestasi yang memuaskan dalam siri perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Untuk rekod, Malaysia menewaskan Brunei 4-0 dan mengalahkan Hong Kong 2-0 sebagai persediaan untuk bertemu pasukan dari Asia Tengah itu.

Melihat kepada keputusan yang baik itu, Hojageldiyev mengatakan yang barisan serangan Malaysia adalah unit yang membuatkan dirinya ‘berpeluh’ sebelum perlawanan diadakan esok.

Ketika ditanya oleh Semuanya BOLA dalam sidang media pra-perlawanan Turkmenistan-Malaysia, Hojafeldiyev disoal mengenai siapakah pemain Harimau Malaya yang dianggap ancaman terbesar bagi pasukannya.

Turkmenistan
Jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldiyev ketika di sidang media pra-perlawanan Turkmenistan-Malaysia. GAMBAR: Syamil Rosli – PFAM

Beliau tidak memberikan nama, sebaliknya mengatakan keseluruhan barisan serangan adalah ancaman besar bagi Turkmenistan.

“Barisan serangan Malaysia adalah yang ancaman terbesar kami,” kata Hojafeldiyev.

Untuk rekod, kedua-dua negara belum pernah bertemu secara kompetitif dan ianya adalah 100% misteri bagaimana perlawanan ini akan diharungi.

Kawal secara keseluruhan

Bagai menyedari kegerunan yang dimiliki Turkmenistan terhadap Harimau Malaya, jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon turut seolah seiring seirama apabila ditanya mengenai perlawanan malam esok.

Kim yang bercakap kepada media selepas sesi bersama skuad Turkmenistan selesai menegaskan yang beliau mahu pasukannya beraksi dengan penguasaan secara keseluruhan.

“Saya mahu pasukan mendominasi perlawanan, mengawal permainan,” jawab Kim secara ringkas.

Kim PG
Kim Pan-gon dan Dion Cools menjawab soalan-soalan yang diajukan media. GAMBAR: Syamil Rosli – PFAM

Dengan sasaran tujuh mata yang diletakkan Kim untuk Harimau Malaya, maka tidak hairanlah mengapa beliau berkata sedemikian.

Berdepan dengan lawan yang pertama kali ditemui di hadapan ribuan penyokong sendiri, pastinya Kim mahu kemenangan diraih bagi membolehkan momentum dicipita menjelang aksi bertemu Bahrain dengan Bangladesh.

Malaysia akan turun pada aksi jam 9 malam esok dalam misi untuk bermain di Piala Asia sejak menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Kredit gambar: Syamil Rosli – PFAM

Leave a Reply