Prolog
Pak Pandir dan Mak Andeh mempunyai seorang anak tunggal. Bagaikan menatang minyak yang penuh, mereka turutkan sahaja permintaan anak tunggal mereka.
Duit belanja, makan minum, tuisyen, tutor peribadi dan kebajikan anak tunggalnya – semuanya Pak Pandir dan Mak Andeh beri. Tiada sebab untuk anak tunggal mereka gagal.
Tetapi apabila markah peperiksaan tiba, anak tunggal Pak Pandir dan Mak Andeh mendapat nombor 35 daripada 48 murid di kelasnya. Kedudukan dalam darjahnya pula 164 daripada 200 murid.
Mak Andeh kecewa dengan prestasi anaknya. Tetapi lain pula halnya dengan Pak Pandir. Pak Pandir berkeras mengatakan sistem ranking sekolah anaknya tidak penting.
Mak Andeh mahu membuat perubahan untuk mengubah prestasi anaknya. Tetapi Pak Pandir buat-buat pekak. Geram dibuatnya Mak Andeh. Hubungan Pak Pandir dan Mak Andeh semakin retak.
Bab 1 – Realiti Bola Sepak Negara
15 tahun dahulu, anda pasti mentertawakan sesiapa yang berkata:
Satu hari nanti, ranking bola sepak Malaysia akan jatuh di bawah Bhutan
Mana mungkin negara yang hanya mempunyai populasi sama dengan Ampang, Selangor dan 0.005% saiz keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia mampu mengatasi ranking Malaysia.
Tetapi itulah yang berlaku sekarang. Ketika ini Malaysia berada satu tangga di bawah negara yang hanya mempunyai populasi penduduk sebesar bandar Ampang!
Kemerosotan prestasi skuad kebangsaan dan kurangnya pelan-pelan bola sepak yang progresif mengundang kritikan ramai orang.
Malangnya artikel 88 FAM pula bertindak menghukum kritikan-kritikan ini. Antara mangsanya adalah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.
Apa persamaan di antara semua mangsa Artikel 88 FAM ini? Mereka dihukum kerana menyuarakan apa yang sudah lama disuarakan oleh rakyat marhaen seperti kita.
Baru-baru ini, artikel 88 FAM baru sahaja dipinda. Pindaan ini membenarkan pegawai FAM selain Presiden dan Setiausha Agung untuk membuat sebarang kenyataan media asalkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Tetapi adakah pindaan ini akan menjamin Pak Pandir akan melakukan sesuatu untuk mendengar permintaan kita; sebagai Mak Andeh?
Bab 2 – Ranking Tak Penting
Berita ranking terbaru Malaysia yang semakin merudum tidaklah mengejutkan sebenarnya. Tetapi yang mengejutkan adalah kebolehan ranking pasukan negara untuk merudum lebih teruk daripada apa yang kita sangka.
Untuk mempertahankan FAM, ada yang berkata format pengiraan ranking FIFA yang berubah (selepas Piala Dunia 2006) menyebabkan ranking pasukan negara semakin merudum. Ya selepas format ini berubah, ranking Malaysia jatuh dari kedudukan 126 (2006) ke 153 (2007).
Mereka berkata perubahan format pengiraan ranking FIFA ini tidak menggambarkan prestasi sebenar pasukan kebangsaan. Soalan kami adakah: adakah ranking kita sekarang lebih tinggi dari ranking kita pada tahun 2007?
Pada 2007, kita berada di ranking 153. Kini kita berada di ranking 164. Satu tangga di bawah Bhutan.
Baca juga: Cara Pengiraan Ranking FIFA Dan Kepentingannya
Bab 3 – Kesan Kejatuhan Ranking Kepada Peluang Piala Dunia 2018
Sebagai sebuah negara yang pernah menyasarkan layak ke Piala Dunia 2014, berada di Pot 5 untuk kelayakan Piala Dunia 2018 sangatlah memalukan.
Secara analogi, jika undian kelayakan Piala Dunia 2018 diibaratkan seperti sebuah sekolah – Pot 1 adalah kelas murid yang disasarkan untuk mendapat 5A dalam UPSR. Pot 5 pula adalah kelas yang dipenuhi oleh murid-murid kelas pemulihan. Murid-murid yang sudah darjah 6 masih tak lancar membaca.
Untuk kelayakan Piala Dunia 2018, Malaysia diundi dalam kumpulan A – bersama UAE, Saudi, Palestine dan Timor Leste.
Tanpa berselindung, Dollah Salleh menyatakan kelegaannya selepas kita tidak diundi bersama Jepun , Korea, Australia atau Iran. Selain itu, Dollah juga menyifatkan Palestine setaraf pasukan kebangsaan. UAE dan Arab Saudi pula merupakan pilihan utama.
Bab 4 – Dollah dan Tunnel Vision-nya
Satu perkara positif tentang Dollah Salleh adalah sikap optimistiknya.
Namun terlalu optimis, anda akan mengalami satu gejala psikologi yang digelar tunnel vision. You’ll see what you want to see. Anda masih mampu melihat sesuatu yang positif daripada kekalahan 6-0 kepada Oman. Anda tidak mahu bersikap kritikal kepada diri sendiri. Sebaliknya anda berselindung di sebalik tirai ‘harapan’ dan ‘impian’ untuk bersembunyi dari terik panas ‘realiti’.
Dapatkan Jersi Rasmi Peminat Harimau Malaya anda sekarang! Klik pada gambar
Bab 5 – Apakah Kita Mempunyai Peluang Di Kelayakan Piala Dunia 2018?
Secara jujurnya, kami tidak meletakkan harapan yang besar. Ini kerana hanya juara setiap kumpulan dan 4 pasukan naib juara terbaik kumpulan akan layak ke pusingan seterusnya.
Matematiknya mudah. Kita wajib menang sekurang-kurangnya 6 perlawanan daripada 8 perlawanan jika mahu layak ke Piala Dunia.
Jadi adakah kita akan layak ke Piala Dunia? Tidak.
Bab 6 – Jika Tiada Peluang, Mengapa Mencuba?
Satu perkara yang perlu anda tahu tentang kelayakan Piala Dunia 2018, ia juga menjadi pentas pemilihan pasukan yang akan layak ke Piala Asia 2019 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Adakah kita mampu layak ke Piala Asia secara merit? Mungkin jika kita bersedia dari SEKARANG.
Untuk melayakkan diri, Malaysia harus menempatkan diri dalam kelompok 28 negara terbaik di Asia untuk mara ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Asia 2019.
Ini bermakna untuk menjamin tempat di pusingan ke-3 kelayakan Piala Asia 2019, kita perlu menduduki tangga ke-3 kumpulan A.
Slot untuk pasukan yang layak ke peringkat seterusnya dalam kumpulan A pilihan penulis adalah Saudi dan UAE. Malaysia pula dijangka akan berada di tangga ke-3 atau ke-4 dengan syarat kita menang dalam kedua-dua perlawanan menentang Timor Leste dan mencatatkan keputusan yang baik menentang Palestine.
Cadangan kami adalah:
1. Lupakan segala sisa-sisa harapan untuk layak ke Piala Dunia 2018 kerana bola sepak kita masih belum bersedia.
2. Mulakan persiapan untuk layak ke Piala Asia 2019 bermula sekarang. Alasan ‘saya hanya mempunyai masa 3 minggu untuk menyediakan pasukan’ perlu dibuang dari kamus jurulatih negara.
Baca juga: Kenali Bintang Muda UAE Yang Gagal Dipikat Oleh Manchester City
Bab 7 – When you’re at rock bottom, there’s no way to go but up.
Sejujurnya, masih terdapat perkara positif mengenai undian ini. Oleh kerana semua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 merupakan perlawanan bertaraf A, setiap kemenangan dan seri akan memberikan mata kepada pasukan Malaysia dalam ranking FIFA.
Apa yang pasti Malaysia perlu memungut mata dan wajib menang dalam kedua-dua perlawanan menentang Timor Leste. Seri dan apatah lagi kalah terhadap negara yang baru merdeka pada 2002 pasti akan mengundang kemarahan peminat bola sepak tempatan.
Bab 8 – Sukan SEA 2015 vs Kelayakan Piala Dunia 2018
Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 antara Malaysia dengan Palestin pada 11 & 15 Jun berselisih dengan Sukan SEA di Singapura, yang berlangsung dari hujung bulan Mei sehingga ke pertengahan bulan Jun. Ini bukan berita baik buat kita.
FAM sudah pasti mahu merebut pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2015 untuk dijadikan ‘gula-gula’ buat peminat Harimau Malaya yang semakin resah. Ong Kim Swee pula pastinya memerlukan pemain terbaik untuk memenuhi hajat FAM.
Tambahan pula, laluan ke pingat emas sukan SEA juga tampak sengit apabila Malaysia diletakkan dalam pasukan B bersama Thailand dan Vietnam.
Jadi adakah akan berlaku perebutan pemain antara Datuk Ong Kim Swee dan Dollah Salleh? Adakah FAM akan menganak-tirikan Dollah Salleh demi mengejar ‘gula-gula’ dan memenuhi Key Performance Indicator (KPI) mereka yang jumud?
Sedangkan ketika ini majoriti peminat tegar bola sepak tempatan sudah tidak hairan dengan emas Sukan SEA dan gelaran juara kejohanan AFF Suzuki. Mereka mahu Harimau Malaya mula mengorak langkah ke peringkat Asia pula.
Epilog
Harus diingat bahawa walau betapa teruknya persembahan pasukan kita di mata dunia, kita harus terus berdiri dan terus menyokong pasukan negara kita.
Menjadi hak pemain kebangsaan untuk meminta turun memenuhi stadium bersorak kepada mereka. Itu tanggung jawab kita sebagai penyokong kepada pemain.
Pesan kami kepada FAM: lupakan Piala Dunia 2018, Sukan SEA 2015 dan AFF Suzuki 2016.
Tumpukan Piala Asia 2019!
Kredit gambar : AFC, Utusan Malaysia, TheStar, FIFA
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter