Indonesia bawah 23 (B-23) tampaknya kembali mencipta kebangkitan pada aksi kedua Piala Asia B-23 di Qatar, apabila pasukan tersebut mencipta kejutan untuk mengatasi cabaran Australia menerusi kemenangan 1-0.
Terdahulu, Sang Garuda memulakan cabaran tersebut dengan langkah kiri apabila mereka tewas 0-2 di tangan pasukan tuan rumah, Qatar serta turut menjadi mangsa layangan kad merah sebanyak dua kali.
Enggan berputus asa lebih awal, Shin Tae-yong berjaya memastikan pasukan itu untuk meraih tiga mata menerusi aksi kedua mereka semalam ketika menentang Australia.
Jaringan tunggal perlawanan tersebut berjaya dihasilkan menerusi Komang Teguh tatkala pasukan lawan memiliki lebih banyak peluang untuk mendapatkan jaringan.
Apatah lagi Australia B-23 turut mendapat peluang sepakan penalti terlebih dahulu sebelum pemain mereka iaitu Mohamed Toure gagal menyempurnakannya dan diselamatkan oleh Ernando Ari.
Satu fakta menarik mengenai kemenangan Indonesia semalam ialah tuah lokasi perlawanan itu sendiri yang sudah memihak kepada Sang Garuda sebanyak dua kali iaitu di Stadium Abdullah Bin Khalifa.
Jika diimbas kembali pada saingan Piala Asia 2023, skuad senior Indonesia berjaya mengetepikan Vietnam buat kali pertama dalam kejohanan itu menerusi keputusan 1-0 hasil jaringan Asnawi Mangkualam.
Ironinya, ia seolah suatu ‘dejavu’ apabila situasi sama kembali berulang untuk skuad pembangunan Indonesia pula kali ini yang juga merekodkan keputusan sama.
Lebih menarik, Ernando Ari iaitu penjaga gol Indonesia sudah pun merasai pengalaman tersebut sebanyak dua kali ketika bersama pasukan senior dan B-23 Sang Garuda.
Aksi terakhir Indonesia selepas ini menyaksikan mereka bakal membuat perhitungan seterusnya pula bersama Jordan untuk menentunkan nasib sama ada Sang Garuda mampu layak atau tidak ke pusingan seterusnya.
Suatu yang mengujakan apabila skuad kendalian Shin itu bakal beraksi sekali lagi di Stadium Abdullah Bin Khalifa dan tentunya faktor tuah ditagih kini oleh para penyokong.
Ketika ini, mereka berada di tangga kedua peringkat kumpulan dengan mengumpul tiga mata serta berpeluang untuk mencipta sejarah mara ke pusingan seterusnya.
Tampil dengan ramai pemain muda berkualiti serta ada sudah memiliki pengalaman bersama skuad senior sebelum itu, pastinya Shin mempunya perancangan tersendiri untuk berdepan Jordan.