Travelog Piala AFF 2022: Keunikan Kuala Lipis Sempurnakan Perjalanan Fasa Pertama

Debaran Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 semakin terasa. Kejohanan dwi tahunan tersebut pastinya amat dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak bagi menentukan jaguh rantau Asia Tenggara ini.

Malaysia yang pernah muncul juara pada edisi 2010 telah ditempatkan dalam kumpulan B bersama Vietnam, Myanmar, Singapura dan Laos.

Kembali ke format kebiasaan, untuk perlawanan peringkat kumpulan, skuad Harimau Malaya perlu membuat perjalanan ke Yangon, Myanmar dan Hanoi, Vietnam untuk aksi di tempat lawan.

Semuanya BOLA seperti biasa tidak mahu ketinggalan untuk membuat liputan secara terus di venue kejohanan bagi mendapatkan berita eksklusif di samping mencari kandungan-kandungan menarik di luar negara.

Hanoi, tunggu aku datang!

Selepas membuat pertimbangan, venue yang dipilih adalah Hanoi yang lebih mudah diakses berbanding Yangon yang memerlukan permohonan visa dan beberapa urusan dokumen lain kepada kerajaan Myanmar.

Untuk sampai ke Hanoi, pilihan terbaik tentulah mengambil penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengambil masa hanya 3 jam. Perjalanan mudah, singkat dan selesa.

Tapi muncul idea yang lebih ‘gila’ dan mencabar, iaitu jalan darat yang memerlukan perjalanan sejauh lebih 3,000 kilometer (km) menggunakan rangkaian bas dan rel kereta api yang melibatkan empat buah negara.

Perancangan dilakukan seteliti mungkin bagi mengumpul maklumat lengkap perjalanan seperti tiket pengangkutan, tempahan penginapan, lokasi menarik dan sebagainya.

Bagitu juga dengan persiapan dari segi keperluan serta kelengkapan kembara seperti dokumen, pakaian, peralatan, tukaran wang asing, pengaktifan penggunaan kad atm di luar negara dan lain-lain lagi.

Lumpur ke Lipis

Dengan lafaz bismillah, pengembaraan dimulakan pada petang jumaat 16 Disember 2022 menggunakan bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Kuala Lipis, Pahang. Berdasarkan semakan di sistem tiket TBS, hanya satu syarikat sahaja yang menawarkan laluan ini iaitu Pahang Lin Siong dengan kekerapan satu bas sahaja setiap hari iaitu pada jam 3.30 petang.

Kuala Lipis sebenarnya merupakan lokasi istimewa yang semakin dilupakan sejarahnya. Dahulunya bandar kecil ini adalah pusat perlombongan emas sebelum ketibaan British pada 1887.

Ia pernah menjadi ibu negeri Pahang pada 1898 dan semakin maju apabila landasan kereta api dibina pada tahun 1926.

Menurut sumber dari portal Majlis Daerah Kuala Lipis, permulaan perkhidmatan keretapi ini menghubungkan Kuala Lipis ke Johor Bharu di Selatan, Chegar Perah di Utara dan ke Tumpat di Pantai Timur.

Kredit foto: Aku Anak Pahang

Ia juga merupakan jalan darat yang pertama diperkenalkan di Kuala Lipis. Ketika zaman pendudukan Jepun dahulu, landasan keretapi tersebut digunakan sebagai laluan untuk mengangkut tentera Jepun ke Selatan untuk menawan Singapura.

Selain itu, ia turut menjadi pengangkutan utama penduduk setempat, sebahagian besar hasil-hasil ekonomi Daerah Lipis juga disalurkan melalui perkhidmatan ini misalnya emas dan bijih-bijih.

Walau bagaimanapun, ibu negeri telah dipindahkan ke Kuantan pada 1955.

Keunikan Kuala Lipis juga terletak pada bangunan-bangunan klasik yang bertebaran di sekitar bandar tersebut. Pejabat pos, pejabat daerah, rumah rehat, bekas masjid negeri, SMK Clifford, muzium rehat dan banyak lagi.

Kredit foto: Raingod

Tiba di Kuala Lipis lebih kurang jam 6.30 petang, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan memandangkan kebanyakan kedai sudah pun ditutup. Tetapi ada satu ‘port‘ lepak istimewa di pekan ini yang dibuka sehingga lewat malam iaitu Sidang Kopi.

Kedai kopi berkonsep ‘retro’ ini diusahakan oleh seorang anak muda berwawasan iaitu Firdaus Abdillah Hamzah atau lebih mesra dikenali sebagai Pipiyapong. Beliau bukanlah individu yang asing dalam dunia penulisan bola sepak tempatan.

Ia menawarkan hidangan kopi istimewa buatan sendiri yang membangkitkan aroma luar biasa. Pilihan kopi latte bersama gabungan sup cendawan dan hirisan roti bawang putih memberikan rasa sempurna selain hidangan kek keju mangga yang secukup rasa.

Laluan hutan

Berehat semalaman, perjalanan hari kedua diteruskan dengan menggunakan laluan rel kereta api ke Wakaf Bharu, Kelantan. Jadual ketibaan tren ini di Stesen Kereta Api Kuala Lipis adalah seawal jam 6.15 pagi.

Perjalanan yang mengambil masa hampir tujuh jam itu diselangi dengan pemandangan gunung batu kapur, hutan, perkampungan selain melalui beberapa jambatan dan terowong panjang itu memberikan pengalaman yang cukup mengasyikkan.

Untuk pilihan kereta api ekspres, perjalanan hanya berhenti di beberapa stesen utama iaitu Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas sebelum tiba di Wakaf Baharu pada jam 1.00 tengah hari.

Penutup

Perjalanan fasa pertama sejauh 450 km berjalan dengan baik mengikut perancangan. Namun yang sedikit membimbangkan adalah ramalan kaji cuaca di pantai timur yang agak membimbangkan.

Nantikan travelog seterusnya bagi perjalanan Kelantan ke Bangkok yang pastinya menjanjikan lebih banyak pengalaman mencabar.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN