Kolo Toure: Virgil Van Dijk Juga Ada Kelemahannya

Virgil van Dijk

Virgil van Dijk seperti kita ketahui mempunyai kualiti yang cukup hebat sebagai pertahanan tengah sehingga membuatkan beliau pada ketika ini dilabelkan sebagai antara pertahanan terbaik di dunia.

Kekentalannya mengemudi jentera pertahanan Liverpool bersama-sama Joe Gomez dan Trent Alexander-Arnold serta Andrew Robertson menjadi sebahagian elemen penting dalam merealisasikan impian The Reds muncul juara Liga Perdana Inggeris musim ini dan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19.

Van Dijk yang merupakan pemain skuad kebangsaan Belanda mula menyertai Liverpool daripada Southampton pada Januari 2018 dengan yuran perpindahan bernilai £75 juta sekaligus menjadikannya sebagai pertahanan termahal di dunia [sebelum Harry Maguire ke Manchester United].

Tidak merendahkan kehebatan pemain berusia 29 tahun itu, Toure bagaimanapun melihat terdapat kekurangan yang dapat disaksikannya pada aksi ditampilkan van Dijk di atas padang.

”Dia [van Dijk] seorang pemain yang luar biasa. Dia pemain yang hebat,” ujar Toure menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Dia mempunyai kepantasan, ketinggian, dia juga boleh melompat. Dia memiliki teknik. Dia juga boleh mengubah permainan dengan hantaran jauh dilakukannya. Dia memiliki segalanya.”

”Saya tidak melihat ramai pemain yang mencabarnya dalam keadaan satu lawan satu. Pada pendapat saya, itulah kelemahannya!”

”Dia sangat tinggi dan sekiranya anda benar-benar mengasaknya ketika bersama bola, dia akan bergelut, tetapi dia begitu bijak.”

”Dia bijak kerana dia turun sedikit ke belakang, tetapi sekiranya ada penyerang yang agresif dalam situasi satu lawan satu, saya rasa anda akan meraih sesuatu daripada perkara tersebut.”

”Dia sememangnya pemain yang sangat bijak. Dia memiliki [Joe] Gomez, pemain yang begitu baik dalam membantunya. Dia juga mempunyai pemain-pemain yang bagus di sekelilingnya dan saya merasakan ia membuatkan permainannya lebih mudah.”

”Tetapi saya merasakan dia mempunyai banyak kualiti,” tambah Toure lagi.

Kredit featured image: Simon Stacpoole/Offside/Offside via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Virgil van Dijk:

Leave a Reply