Touhid Lotfi: Penganjuran MPFL Mampu Tingkatkan Kualiti Futsal Malaysia

Touhid Lotfi

Pemain import skuad futsal Perak, Touhid Lotfi beranggapan penganjuran saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dapat meningkatkan lagi kualiti sukan lima sebelah itu di Malaysia pada masa akan datang.

Pemain kelahiran Tabriz, Iran itu melihat aspek kehadiran pemain import bagi mewarnai saingan musim kedua yang sepatutnya sedang berlangsung pada ketika ini mampu untuk meletakkan kancah futsal tertinggi di Malaysia itu di tahap lebih baik.

Namun, tiada siapa yang dapat melawan ketentuan daripadaNYA apabila kempen MPFL 2020 terpaksa dibatalkan meskipun baharu berlangsung satu perlawanan susulan wabak COVID-19 yang melanda negara sehingga ke hari ini.

Keadaan tersebut amat pahit untuk ditelan Touhid kerana beliau mempunyai misi yang cukup jelas bagi membantu Perak menjadi antara pencabar terhebat sekaligus muncul juara pada musim ini.

”Sudah pastinya saya kecewa dengan berita pembatalan liga ini tetapi segala keputusan yang diambil pihak berwajib sudah pasti ada hikmahnya. Kami perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.”

”Penganjuran MPFL yang merupakan liga futsal profesional tidak dinafikan mampu meningkatkan kualiti liga dan juga futsal di Malaysia. Tambahan pula dengan kebenaran setiap pasukan untuk membawa masuk seorang pemain import.”

Mahu kembali bersama Perak

Touhid Lotfi ketika ditemui wakil Semuanya BOLA di Ipoh turut mengakui bahawa Perak adalah sebuah pasukan yang baik serta mempunyai kualiti untuk muncul pasukan gergasi futsal tanah air.

”Perak merupakan pasukan yang baik dan berkeupayaan untuk muncul sebagai juara berikutan kehadiran pemain-pemain berkualiti dalam pasukan.”

”Sejujurnya, kualiti yang dimiliki pemain-pemain tempatan ini sebenarnya membolehkan mereka untuk beraksi dalam saingan liga yang lebih kompetitif di luar negara.”

Beliau yang akan kembali ke kampung halamannya pada hujung minggu ini tanpa berselindung turut mengakui tidak sabar untuk kembali semula beraksi bersama Perak sekiranya khidmat beliau masih lagi diperlukan.

Perbezaan futsal di Iran dan Malaysia

Dengan status Iran selaku pasukan tangga keenam di ranking futsal dunia, sudah pasti kita akan mengetahui terdapat jurang yang besar di antara dua negara ini.

”Sudah pasti terdapat perbezaan di Iran kerana di sana pemain-pemainnya cukup hebat. Ada juga di antara mereka yang berpengalaman luas beraksi di liga seluruh dunia. Tambahan pula Iran adalah pasukan yang seringkali beraksi di Piala Dunia.”

”Cuma di Malaysia permainannya cukup pantas berbanding di Iran, di negara saya, tempo lebih perlahan tetapi kemahiran teknikal para pemain di sana cukup hebat,” ujar pemain yang merupakan duta bagi jenama sukan tempatan, Panzer.

Kenali serba ringkas mengenai Touhid Lutfi

Pemain berusia 22 tahun ini merupakan ketua pasukan skuad bawah 20 tahun (B-20) Iran ketika muncul juara Kejuaraan Futsal B-20 AFC yang berlangsung di Bangkok pada Mei 2017.

Touhid turut dinobatkan sebagai ‘Pemain Paling Bernilai’ dan berjaya menjaringkan enam gol sepanjang kejohanan tersebut.

Beliau hadir ke Perak dengan reputasi hebat sebagai calon pemain muda terbaik dunia bagi dua tahun berturut-turut (2017 dan 2018), anugerah yang dianjurkan portal futsal antarabangsa terkenal, Futsal Planet.

Beliau mula direkrut kelab gergasi Iran, Mes Sungun Varzaghan FSC pada musim 2016 dan pernah beberapa kali dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan Iran.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Baca artikel lain dari kami mengenai Futsal Malaysia:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN