Kuota Pemain Import Hangatkan Saingan Liga Premier Futsal Malaysia 2020

Liga Premier Futsal Malaysia

Selepas kejayaan menganjurkan kejohanan sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) pada tahun ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus mengorak langkah apabila memperkenalkan satu kuota pemain import bagi semua pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu pada musim depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan cadangan mengenai perkara berkenaan sudah pun dibincangkan dalam mesyuarat FAM dan kriteria penuh akan ditentukan oleh pihaknya termasuk harga siling bagi gaji pemain import yang akan diambil.

“Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai sudah bincang dan putuskan cadangan kepada Exco, MPFL yang bermula Mac 2020 diberikan satu slot pemain import.

“Ada kriteria yang akan akan diumumkan kemudian untuk melancarkan pemain import dijalankan dengan betul dan pengurusan pasukan tidak terjejas dengan kos.

“Gaji siling untuk import juga dilaksanakan dan akan diumumkan kemudian,” katanya kepada Berita Harian.

Hal mengenai gaji menjadi perhatian FAM kerana badan induk bola sepak itu tidak mahu ‘wabak’ masalah gaji dalam saingan Liga Malaysia turut melanda pasukan futsal yang mengambil bahagian dalam MPFL.

MPFL yang menggantikan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) telah berjaya dijalankan dengan jayanya dan mendapat pujian pelbagai pihak terutama peminat sukan itu.

Dalam penganjuran musim ini, pasukan Selangor muncul juara bagi kategori lelaki manakala, pasukan Kuala Lumpur mengungguli bagi kategori wanita.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini berharap penyertaan dalam MPFL akan bertambah terutamanya bagi kategori wanita yang menyaksikan dalam penganjuran sulung kali ini hanya empat pasukan yang menghantar pasukan iaitu Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Kedah.

Kredit foto: Selangor MAC Futsal

Leave a Reply