Penang FC tewas 1-3 kepada KL City FC dalam aksi pembukaan pusingan kedua Liga Super 2021 dan Tomas Trucha mengakui yang ia bukanlah hari terbaik buat mereka.
Selepas melalui sembilan perlawanan tanpa tewas sejak 9 Mac lalu, Penang dijangka mampu meneruskan rentak itu selepas aksi menakjubkan berdepan pasukan seperti Terengganu, menang besar 4-1 di Kuala Terengganu. Namun, ia tidak berlaku.
Tiada pasukan mampu tundukkan Penang sejak mereka tumbang kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi minggu kedua. Mereka menang ke atas pasukan elit seperti Perak FC, Selangor FC dan terbaru, Pahang FC, sebelum itu.
Skuad Harimau Kumbang berangkat meninggalkan Pulau Pinang sejak 25 April lalu untuk berdepan Terengganu seterusnya bertolak ke Kuala Lumpur untuk berdepan KL City. Adakah faktor penat mereka tewas? Ia mungkin hanya salah satu faktor.
Tomas Trucha Berkunjung Ke Gong Badak Dengan Krisis Kecederaan https://t.co/x2dK38VVAr
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 29, 2021
Tetapi, harus diingat, sejak beberapa perlawanan yang lalu, Penang sememangnya bergelut dengan kehilangan pemain-pemain utama. Walaupun pemain gantian mereka mampu mengambil alih peranan, tetapi impaknya tentu sedikit berbeza.
“Seperti yang saya jelaskan ketika berdepan Terengganu, kami telah kehilangan ramai pemain. Bertambah malang, kami kehilangan seorang lagi pemain selepas aksi dengan Terengganu iaitu Amer [Azahar],” ungkap Tomas Trucha di sidang media.
“Jadi, tiada banyak yang mampu dilakukan walaupun kami cuba mengubah sesuatu dalam perlawanan, ia sukar untuk dilakukan,” tambahnya lagi yang jelas kecewa.
Mereka silih berganti kehilangan pemain dan ada antara mereka sudah lama tidak diturunkan seperti penjaga gol yang tercalon dalam senarai Pemain Terbaik PFAM Bulan Mac, Sam Somerville. Ketika ini, mereka beraksi tanpa empat pemain.
Khairu Azrin Khazali, Ryuji Utomo, Al-Hafiz Harun dan terbaru Amer Azahar tampak mungkin akan terus tersisih. David Rowley dan Endrick dos Santos serta Casagrande tidak berada dalam kondisi terbaik apabila baru pulih daripada kecederaan.
“Penghargaan buat para pemain yang berikan segalanya ketika dengan Terengganu. Namun, ia ‘ragut’ segala yang kami ada kerana menggunakan tenaga yang banyak. Kami tidak seampuh seperti sebelum ini kerana kehilangan ramai pemain.
“Kami hanya boleh membuat proses pemulihan dan berkumpul semula untuk fokus aksi seterusnya. Jelas yang kami tidak memiliki kesebelasan terbaik kami. Sudah dua ke tiga minggu kami tidak senaraikan kesebelasan terbaik,” jelasnya lanjut.
“Kami sudah cuba yang terbaik namun, hari ini bukanlah hari yang baik buat kami seperti sebelum ini,” tambahnya yang membawa Penang berada di kedudukan yang di luar jangkaan ramai, tangga ke-3 liga selepas tamat pusingan pertama tempohari.
Baca lagi artikel lain mengenai Tomas Trucha dan Penang FC:
Rowley: Penang Pasukan Kecil Tapi Pemain Ada Mentaliti Menang
Tomas Trucha Kredit ‘Urus Niaga’ Manzoor Azwira Pacu Prestasi Terkini Penang
Tomas Trucha: Sabah Kuat, Anda Boleh Tanya Terengganu Kalau Tak Percaya