Tomas Trucha: Sabah Kuat, Anda Boleh Tanya Terengganu Kalau Tak Percaya

Levy Madinda Saarvindran Penang FC Sabah FC 2021 Tomas Trucha

Penang FC tentunya lega apabila berjaya mendapat jaringan penyamaan menuju ke penghujung aksi untuk mengikat Sabah FC dengan keputusan 1-1, malam tadi.

Penyerang utama, Casagrande berjaya menanduk masuk jaringan penyamaan buat Penang di minit ke-85 selepas mereka bekerja keras untuk menghasilkan gol apabila Sabah mendahului aksi sejak minit ke-52 menerusi ledakan padu Saddil Ramdani.

Bukanlah tugas mudah untuk bangkit, namun itulah yang berlaku apabila semangat mereka mengatasi segalanya. Namun, segalanya agak lewat kerana kebangkitan mereka hanya berlaku di minit ke-85, lima minit menuju ke tiupan wisel penamat.

Menurut pengendali, Tomas Trucha, hujan sedikit mengganggu perancangannya dan kemudian Sabah pula berjaya menjaringkan gol pembukaan. Ia menambah kesukaran buat mereka untuk bangkit mengejar seterusnya memenangi perlawanan.

Begitupun, Tomas Trucha menghargai para pemainnya yang berusaha keras untuk bangkit menyamakan kedudukan berdepan Sabah yang sukar untuk ditundukkan.

Ungkapnya, “Penghargaan buat pemain-pemain saya, mereka ketinggalan satu gol. Saya memang sudah jangkakan perlawanan yang sukar. Sabah adalah pasukan yang sukar untuk ditewaskan. Cuba anda tanya Terengganu [tentang permainan Sabah].”

“Johor juga terpaksa berhabis untuk menewaskan mereka. Kami sudah cuba yang terbaik, namun hanya satu mata yang berjaya diraih,” jelas Tomas Trucha lagi.

Dalam aksi yang berlangsung dengan keadaan padang yang ‘berat’ akibat hujan lebat yang turun di permulaan perlawanan, kedua-dua pasukan sedikit bergelut sebelum menyesuaikan diri, namun beberapa gerakan berjaya dicipta oleh kedua-dua pasukan.

Penang terutamanya memiliki deretan peluang menamatkan aksi dengan keputusan selesa, namun gagal melangsaikan peluang-peluang yang terhidang buat mereka.

“Aksi babak pertama sukar disebabkan hujan dan babak kedua kami mencuba lagi, malangnya mereka berjaya menjaringkan gol. Kita dapat peluang [untuk menjaringkan gol], namun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki seperti hantaran lintang dan seperti biasa sentuhan penyudah yang lebih baik,” jelas pengendali itu lagi.

Bercakap tentang penyudah yang kurang menjadi, Tomas Trucha tampil menjelaskan mengenai situasi Casagrande. Katanya, pemain itu bergelut dengan kecederaan.

“Jujurnya Casagrande ada beberapa isu dengan laporan perubatannya. Saya berterima kasih kepadanya kerana mahu bermain. Saya gembira dia bermain dan melangsaikan tugasnya. Untuk mengkritiknya, saya rasa ia sangat tidak adil buat dirinya.

“Kami juga mahukan tiga mata [seperti penyokong] dan kami mahu menghadiahkan mereka tiga mata. Apa yang saya boleh katakan, maaf atas keputusan ini. Kami akan berikan mereka tiga mata dalam perlawanan selepas ini,” tekad Tomas Trucha.

Terikat dengan keputusan seri, Penang gagal memintas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC untuk berada di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kekal di kedudukan ke-4 Liga Super 2021, mengumpul 15 mata selepas lapan aksi.

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Baca lagi artikel lain mengenai Tomas Trucha dan Penang FC:

Curi Tumpuan Lepas ‘Rantai’ Safawi Rasid, Tapi Itu Bukan Posisi Sebenar Azmeer Aris

Tomas Trucha: Saya Gembira Dengan ‘Attitude’ Pemain Penang FC

Penang FC Menang, Tapi Tomas Trucha Tak Gembira

Leave a Reply