Hajat besar Arsenal bagi membawa masuk tonggak utama Lyon, Houssem Aouar seperti diketahui menemui jalan buntu apabila pemain tersebut mahu terus kekal bersama pasukan semi finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 itu.
Menyertai Akademi Lyon pada usia 11 tahun, Aouar kini menjadi sandaran utama jentera tengah skuad kendalian Rudi Garcia itu yang mana beliau telah dinaikkan pangkat ke skuad utama bermula kempen 2016/17.
Aksi menarik dipamerkan terutamanya ketika membantu Lyon menundukkan Juventus dan Manchester City dalam saingan UCL musim lalu menyerlahkan lagi kualitinya.
Walaupun Arsenal menunjukkan minat mendalam, pemain tengah berusia 22 tahun itu percaya dirinya mampu untuk memainkan peranan penting bagi membantu Lyon meraih kejayaan yang lebih besar.
[Kenapa saya membuat] keputusan saya untuk kekal di Lyon? Saya merasakan saya masih mampu untuk memberikan sumbangan berkesan buat pasukan dan kelab ini.”
”Sebab itulah saya membuat keputusan untuk meneruskan ‘pengembaraan’ saya bersama Lyon.”
”Saya berharap kami akan bangkit dan mendapatkan kembali rentak dengan cepat,” ujar Aouar menurut laporan dikeluarkan Goal.
Selepas mengharungi enam perlawanan Ligue 1, Lyon terperosok ke tangga ke-14 selepas hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, empat keputusan seri dan satu kekalahan.
Musim lalu, Houssem Aouar membuat 41 penampilan di semua pertandingan yang disertai oleh Lyon dan berjaya menjaringkan sembilan gol serta mencipta 10 bantuan jaringan.
Kredit featured image: Jean Catuffe/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Arsenal: