Ferdinand: Kelibat Houssem Aouar Mengingatkan Saya Kepada Nasri

Houssem Aouar

Legenda pertahanan England, Rio Ferdinand meluahkan rasa kagumnya melihat aksi ditampilkan pemain tengah Lyon, Houssem Aouar terutamanya dalam menjadi tunjang kepada kejayaan kelab Ligue 1 itu melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Menyertai Akademi Lyon pada usia 11 tahun, Aouar kini menjadi sandaran utama jentera tengah skuad kendalian Rudi Garcia itu yang mana beliau telah dinaikkan pangkat ke skuad utama bermula kempen 2016/17.

Yang terbaharu, aksinya ketika ‘menendang’ Juventus dan Manchester City daripada persaingan UCL nyata menunjukkan bahawa beliau sudah bersedia untuk menikmati cabaran yang lebih besar selepas ini.

Bagi Ferdinand, beliau beranggapan kelibat Aouar di padang mengimbau kembali ingatannya kepada bekas pemain skuad kebangsaan Perancis, Samir Nasri yang pernah memainkan peranan penting ketika bersama Arsenal dan Manchester City.

”Dia [Aouar] telah memberikan kreativiti dalam pasukan ini. Seorang pemain yang begitu muda tetapi pasukan ini bergantung kepadanya.” ujar Ferdinand menurut laporan Goal.

”Ia menunjukkan bahawa kepercayaan yang mereka berikan kepadanya dan kepercayaan dalam dirinya sendiri.”

”Anda lihat imaginasinya dan ‘gambar’ yang diciptakan olehnya dan lihat aksinya di atas padang, visi dan kesedaran terhadap taktikal yang ditunjukkan olehnya.”

”Keyakinan itulah yang muncul dari ‘budak’ ini. Dia merupakan pemain yang hebat untuk ditonton.”

”Dia ada segalanya. Dia mengingatkan saya kepada Samir Nasri. Dia merupakan seorang pemain yang boleh menjadi pemain berkelas dunia dan beraksi bersama kelab terbaik di Eropah,” tambah Ferdinand lagi.

Aksi menarik yang ditampilkannya telah menarik minat kelab ternama Liga Perdana Inggeris seperti Manchester City dan Arsenal untuk membawa pemain berusia 22 tersebut ke kancah liga paling popular di dunia itu.

Musim ini, Houssem Aouar telah membuat 41 penampilan di semua pertandingan yang disertai oleh Lyon dan berjaya menjaringkan sembilan gol serta mencipta 10 bantuan jaringan.

Kredit featured image: Catherine Ivill – UEFA/UEFA via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai bola sepak Perancis:

Leave a Reply