Pertembungan dua pasukan teratas Liga Super iaitu Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari Ahad ini di Stadium Darul Makmur pasti menjadi tumpuan oleh peminat bola sepak tempatan.
Apatah lagi kedua-dua pasukan masih konsisten dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Super musim ini.
Meskipun Pahang hanya dipisahkan dua mata di belakang JDT yang mengungguli persada liga dengan 26 mata, namun mereka berpeluang memintas kedudukan itu jika berjaya menewaskan juara bertahan tersebut.
Bercakap dalam Utusan Malaysia, Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri tanpa menghiraukan reputasi hebat yang dimiliki oleh skuad kendalian Benjamin Mora itu.
“Kita kena menang…kita bermain di tempat sendiri kita kena gunakan kelebihan itu. JDT dengan reputasi dan keinginan mempertahankan kejuaraan itu menjadikan mereka sebuah pasukan yang sukar ditewaskan tetapi ia tidak mustahil, Pahang pernah kalahkan mereka beberapa kali sebelum ini.
“Pemain semua bermotivasi dan bersedia untuk menghadapi perlawanan Ahad ini meskipun menyedari JDT datang dengan pengalaman mereka bermain di peringkat tertinggi Asia. Kedua-dua pasukan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan, JDT telah memenangi 3 perlawanan dalam 6 pertemuan mereka pada musim lepas. Mereka menewaskan Pahang, 2-1 dalam saingan Liga Super dan mencatat dua keputusan seri dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur.
Jika mengambil kira prestasi terkini Pahang, juara Piala FA 2018 itu mampu melakukan kejutan seperti mana mereka menewaskan JDT di Stadium Larkin dengan jaringan 3-0 ketika saingan suku akhir Piala FA.
Dollah turut menegaskan mereka tidak akan bermain bertahan sebaliknya sedia memberikan aksi yang terbaik untuk mencari kemenangan yang diidamkan.
“Tiada istilah kita kena bermain bertahan atau menyerang. Bagi saya bermain di gelanggang sendiri atau lawan pemain perlu sentiasa memberikan yang terbaik. Cuma untuk aksi ini saya harap pemain dapat berikan lebih dari biasa kita pamerkan,” tambah beliau.