Quantcast

BERITA

Sabah FA Mahu FAM Kembali Kendalikan Liga Malaysia

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali diberikan kuasa penuh bagi mengendalikan Liga bola sepak professional di negara ini.

Katanya dalam Harian Metro, beliau tidak begitu gemar dengan cara MFL menguruskan Liga Malaysia kerana terlalu masalah yang timbul seperti isu geran, penundaan jadual perlawanan dan penarikan diri beberapa pasukan.

“Kalau anda mahu majukan bola sepak, bukan sahaja di Sabah, pengurusan perlulah diperbaiki dan yang paling penting perlunya satu badan yang mempunyai kuasa khusus.

“Sebagai contoh kalau anda lihat liga bola sepak di negara ini, sejak MFL mengambil alih, begitu banyak masalah yang timbul termasuk pengguguran pasukan dan ada juga yang menarik diri.

“Saya percaya sekiranya perkara ini mendapat bimbingan FAM serta dibuat secara teratur, ia mungkin boleh dielakkan,” katanya.

Beliau juga khuatir masalah yang berlarutan tersebut akan menjejaskan program pembangunan akar umbi oleh persatuan bola sepak negeri akibat kekurangan dana.

“Anda kena ambil ini sebagai iktibar kerana jika ia berlarutan, sudah pasti pembangunan bola sepak akan terjejas.

“Sudah tiba masanya FAM diberi kuasa sepenuhnya seperti sebelum ini, supaya pelan pembangunan bola sepak negara lebih teratur dengan kerjasama semua ahli gabungan di seluruh negeri.

“Apa yang saya nampak ketika ini adalah pertindihan kuasa dan kadang-kadang sekiranya pihak SAFA sendiri mahu menghantar surat, kami kurang jelas surat itu mahu ditujukan kepada siapa, sama ada MFL atau FAM,” katanya.

Peter turut mempersoalkan kelewatan MFL mengagihkan geran tahunan kepada ahli gabungan FAM hingga menyebabkan beberapa perancangan pasukan terbantut.

“Dulu di bawah seliaan FAM, tidak menghadapi masalah, geran itu sepatutnya diberikan pada awal tahun tapi sekarang sudah mahu memasuki bulan Mei.

“Ini sesuatu yang tidak baik untuk pembangunan bola sepak, sekiranya kami ingin melahirkan lebih ramai pemain yang mampu menyumbang kepada negara, kami perlu penambahbaikan dari segi pengurusan,” katanya.

FOTO: FAM

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, semalam mengetuai kunjungan hormat kepada SAFA.

Kunjungan itu turut disertai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, Datuk Rosmadi Ismail dan Dato’ Ab Ghani Hassan. Hadir sama, barisan exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid dan Christopher Raj.

Antara perkara yang dibincangkan ialah isu semasa berkaitan bola sepak tempatan serta usahasama antara FAM dengan SAFA khususnya.

“Kami di FAM sememangnya sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungan.

“Menjadi hasrat dan cita-cita FAM untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan ahli gabungan.

“Di sini kami memberi taklimat memperkenalkan semula F:30 dan ACE kepada SAFA secara lebih dekat dalam usaha untuk memperkasakan ahli gabungan,” katanya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!