Penaung Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengakui dirinya tidak pandai dalam mengurus pasukan bola sepak.
Menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers, TMJ mengatakan orang yang benar-benar mengetahui mengenai sukan tersebut ada di luar industri bola sepak.
Golongan tersebut yang dimaksudkan oleh TMJ adalah mereka yang hanya berkata-kata di media sosial.
TMJ menyifatkan golongan sebegini adalah golongan yang lebih pandai berbanding mereka yang berkerja dalam industri bola sepak.
Malah, mereka lebih lebih pintar berbanding individu yang berjaya dalam bola sepak.
“Majoriti mereka yang tahu dalam bola sepak dengan lebih mendalam adalah mereka yang berada di media sosial.”
“Mereka tahu lebih banyak berbanding mereka yang duduk di dalam industri bola sepak. Malah lebih hebat berbanding mereka yang berjaya dalam bola sepak.”
Dalam masa yang sama, TMJ mengakui dirinya sebagai “tidak pandai” dalam menguruskan pasukan bola sepak.
Katanya, TMJ telah bertemu dengan ramai orang yang berpengalaman lebih dari 15 dan 20 tahun dalam industri ini.
“Saya telah bertemu ramai orang yang mempunyai banyak pengalaman dalam dunia bola sepak.”
“Ada yang sudah 15 tahun, ada yang 20 tahun, 30 tahun. Mereka semua punya banyak pengalaman dan pencapaian.”
TMJ juga menasihatkan sekiranya ingin bercakap mengenai bola sepak, gunakan fakta dan statistik yang ada.
“Pandangan ikhlas saya, sebelum berbicara pastikan ada fakta dan statistik untuk menyokong hujah anda.”