Quantcast

BERITA

Giliran UAE Menguji Kekuatan Skuad Ong Kim Swee

Aksi persahabatan antarabangsa diantara skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) bawah 23 tahun (B-23) di Stadium Shah Alam malam ini bakal menjadi medan untuk memilih 20 pemain terbaik yang akan mewakili negara di Sukan Asia 2018 minggu depan.

Menurut laporan daripada Berita Harian, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu kini terpaksa melupakan khidmat penyerang berbisa, N. Thanabalan yang disahkan mengalami masalah kecederaan lama yang berulang dan tidak sempat pulih dalam masa terdekat.

“Ia kecederaan lama, sebelum saya dipanggil menyertai skuad kebangsaan berdepan Fiji lagi. Sudah tentu saya rasa sedih dan kecewa. Bagi saya, satu kerugian besar tak dapat menyertai pasukan ke Sukan Asia 2018 kerana saya tak pernah merasai aksi Sukan Asia.

“Saya perlu teruskan latihan pemulihan lutut kiri ini untuk tempoh sebulan lebih.

“Apa pun, saya minta semua rakan sepasukan berjuang habis-habisan dan beraksi seperti ketika Sukan SEA tahun lalu. Tak mustahil kami boleh tewaskan Kyrgyzstan, Korea Selatan dan Bahrain di peringkat kumpulan,” kata Thanabalan yang mengakui kecewa tidak dapat membantu skuad negara di temasya itu.

Thanabalan bercakap kepada media selepas sesi latihan semalam. FOTO: FAM

Biarpun ketiadaan Thanabalan, Kim Swee menyifatkan pemain lain yang hadir pada sesi latihan kali ini lebih bersedia dan beliau akan dapat melihat gambaran barisan terbaik ketika menentang UAE malam ini

“Seperti saya katakan pemain sedia ada mampu mengisi setiap kekosongan dan perlawanan esok menjadi paling penting sebelum aksi pembukaan Sukan Asia berdepan Kyrgyzstan pada 15 Ogos ini.

“Danial Amier Norhisham juga masih belum menjalani latihan sepenuhnya bersama pasukan tapi (tahap kecederaan) dia nampak positif. Mungkin dia tidak sempat pulih untuk aksi pertama.

“Berkenaan Hadi Fayyadh (Abd Razak), kami akan lihat keadaan selepas dia pulang ke Malaysia (11 Ogos ini) dan jika perlu, saya akan panggil dia balik,” katanya.

Skuad bawah 23 tahun negara menjalani sesi latihan di Wisma FAM semalam. FOTO: FAM

Sebelum ini, Kim Swee terpaksa melupakan beberapa tonggak termasuk dua pemain Pahang, Nor Azam Azih dan Matthew Davies yang tidak melaporkan diri bersama pasukan selain Aidil Zafuan Radzak, Syamer Kutty Abba dan Jafri Firdaus Chew berdepan masalah kecederaan.

Tiket perlawanan di antara Malaysia menentang UAE akan mula dijual hari ini di kaunter Stadium Shah Alam yang berharga RM20.00 untuk dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak.

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!