Setiap tindakan itu ada sebab disebaliknya, dan itulah yang cuba dijelaskan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam hal mengenai pertukaran jurulatih.
Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sering dilihat menukar jurulatih mereka dalam tempoh masa yang singkat dan ini menimbulkan persoalan mengapa juara unifi Liga Super 2018 itu berbuat demikian.
Persoalan ini telah pun dijawab oleh TMJ dalam satu sesi bual santai bersama para penyokong JDT baru-baru ini.
Menurut baginda, keputusan itu dibuat adalah kerana JDT sendiri sebagai sebuah pasukan mahukan jurulatih yang boleh mengikuti falsafah kelab.
Jurulatih yang menjadi pengendali pasukan JDT harus sedar yang pasukan tersebut mempunyai falsafah iaitu mahu mememangi setiap perlawanan dan juga menerapkan kesedaran taktikal (tactical awareness) dalam pasukan.
“Kami mengakui JDT sering menukar jurulaith sejak dari era Fandi Ahmad lagi.”
“Akan tetapi, polisi dan falsafah kelab masih lagi sama. Pasukan perlu menang semua perlawanan dan juga mengikut Jepun dan China yang mempunyai kesedaran taktikal.”
Satu lagi perkara yang mendorong kepada kecenderungan JDT untuk menukar jurulatih secara kerap adalah kerana ketidakmahuan jurulatih sedia ada berevolusi dengan bola sepak moden.
“Kita perlu tukar jurulatih jika mereka tidak mahu terima pengetahuan baharu mengenai bola sepak moden.”
“Selain itu, pertukaran perlu dilakukan apabila jurulatih sudah mula gagal mengawal disiplin pemain maka kita perlu tukar.”