Wira Jerman pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014, Mario Gotze mengambil keputusan untuk berkelana ke Belanda apabila telah memeterai kontrak selama dua tahun bersama kelab Liga Eredivisie, PSV.
Pemain dengan 63 kaps antarabangsa itu menyertai PSV secara percuma selepas kontraknya bersama Borussia Dortmund tamat pada penghujung musim 2019/20 yang lalu.
Perkembangan terbaharu itu diumumkan PSV menerusi laman sesawang kelab yang kini menghuni tangga kedua saingan Liga Eredivisie dengan mengumpul 10 mata, terikat mata bersama pendahulu liga, Feyenoord selepas mengharungi empat perlawanan.
”Mario tertarik [untuk menyertai PSV] selepas pengurus kami, Roger Schmidt berkomunikasi dengannya,” ujar Pengarah Bola Sepak PSV, John de Jong.
”Pada akhirnya dia menjadi ‘anugerah’ yang kami harapkan. Kami gembira kerana dia menandatangani kontrak bersama PSV. Saya sangat bangga.”
Dalam pada itu, Gotze mengakui beliau sudah bersedia untuk menikmati cabaran baharu dalam kariernya selepas pertama kali meninggalkan negara kelahirannya.
”Saya mendapat banyak tawaran pada musim panas ini, tetapi saya merupakan seorang yang sensitif dan saya telah membuat keputusan sendiri.”
”Saya merasakan saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran yang sangat berbeza ini dan saya yakin bahawa ini akan menjadi perubahan yang sangat selesa buat saya.”
”Saya meneruskan latihan dan memastikan dapat menyesuaikan diri dengan pengembaraan baharu ini. Saya memandang ke hadapan untuk menyertai rakan sepasukan baharu untuk latihan penuh dan mempersiapkan diri untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” ujar Gotze lagi.
Memulakan karier profesional bersama Borussia Dortmund pada tahun 2009, Gotze mengambil keputusan untuk berhijrah ke Bayern Munich bermula musim 2013/14.
Jodohnya bersama kelab gergasi Jerman itu bagaimanapun hanya mampu bertahan tiga musim sebelum kembali semula bersama Dortmund pada kempen 2016/17.
Kredit featured image: Laman sesawang rasmi PSV
Baca artikel lain dari kami mengenai Mario Gotze: