Penyokong Chelsea kini sudah boleh menarik nafas lega apabila Timo Werner telah melengkapkan perpindahannya ke Stamford Bridge dengan memeterai kontrak selama lima tahun dengan yuran perpindahan bernilai £45 juta.
Pemain skuad kebangsaan Jerman itu menjadi pemain kedua yang direkrut oleh Chelsea bagi menghadapi saingan musim 2020/21 setelah sebelum ini mereka membawa masuk pemain lincah, Hakim Ziyech dari Ajax Amsterdam.
Werner menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini susulan minat mendalam yang ditunjukkan Chelsea yang bersetuju untuk mengaktifkan klausa pelepasan bagi merealisasikan impian The Blues untuk memperkuatkan jentera serangan mereka.
Bercakap kepada laman sesawang rasmi kelab Liga Perdana Inggeris itu, Werner mengakui beliau amat gembira dapat menyertai Chelsea.
”Saya sangat gembira dapat menandatangi kontrak bersama Chelsea, ia merupakan detik yang membanggakan dapat menyertai kelab hebat seperti ini.”
To everyone at @ChelseaFC :
I’m incredibly happy to be joining the Blues next season! It feels like the right step for me and I am delighted to become a part of Chelsea FC. Really looking forward to playing for such a fantastic and historic club!
See you soon Chelsea fans! ? pic.twitter.com/WLcagJCHWt— Timo Werner (@TimoWerner) June 18, 2020
”Sudah tentu saya mahu mengucapkan terima kasih buat RB Leipzig, kelab tersebut dan para penyokong untuk empat tahun yang hebat ini. Anda semua akan sentiasa ada dalam hati saya.”
”Saya tidak sabar untuk menikmati musim hadapan bersama rakan sepasukan yang baharu, pengurus baharu dan sudah tentunya penyokong Chelsea. Bersama-sama kita menikmati masa hadapan yang cemerlang buat kita semua,” ujar Werner lagi.
Werner hadir ke London dengan reputasi sebagai peledak 93 gol dan mencipta 40 bantuan jaringan dalam 157 penampilannya bersama RB Leipzig.
Beliau dilaporkan akan terus bersama RB Leipzig menghadapi baki saingan Bundesliga dan akan bersama Chelsea pada bulan hadapan.
Kehadiran Werner sudah pastinya memberikan lebih banyak pilihan buat pengurus pasukan, Frank Lampard bagi merencana sesuatu yang lebih menarik buat Chelsea pada musim hadapan.