Bintang Chelsea, Eden Hazard kini sedang menikmati prestasi yang memberangsangkan dibawah kendalian Maurizio Sarri.
Beliau kini berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris bersama penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic dengan lima gol.
Di samping kelincahan dan sentuhan penyudah yang semakin menunjukkan bisa, Hazard meledakkan jaringan kemenangan yang begitu menarik pada pertemuan Piala Carabao menentang Liverpool di Anfield tempoh hari.
Prestasi cemerlang yang disajikan pemain antarabangsa Belgium itu telah mendapat pujian dari Sarri yang menyifatkan Hazard mampu untuk mencetak 40 jaringan pada musim ini.
Dalam pada itu, pemain tengah Chelsea, Ross Barkley juga melabelkan rakan sepasukannya itu kini lebih baik berbanding dua bintang dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Namun, di sebalik pujian menggunung yang diberikan kepadanya, Hazard jelas mahu fokus terhadap persembahan beliau berbanding mengambil kisah tentang pujian-pujian tersebut.
”Saya tidak mempunyai sebarang sasaran khusus. Satu-satunya sasaran saya adalah untuk memenangi sesuatu pada setiap musim. Saya mahu memenangi trofi kejuaraan.”
”Tidak penting berapa banyak gol yang saya jaringkan. Anda mengenali saya, saya tidak kisah tentang perkara itu. Saya hanya mahu menikmati bola sepak dan memenangi perlawanan.”
”Ketika ini saya menjaringkan gol, itu sebab mengapa semua orang mengatakan saya untuk berada dalam kalangan tiga pemain terbaik (bersama Ronaldo dan Messi).”
”Ia merupakan satu perkara yang menggembirakan dapat berada di kedudukan tersebut. Saya hanya mahu ia berterusan. Saya merupakan pemain yang sama seperti dua, tiga tahun yang lalu.”
”Kini tempoh dimana saya menjaringkan banyak gol dan mengharapkan saya akan meneruskan sentuhan jaringan.”