Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain berkata dalam sidang media selepas mengatasi Sarawak United dalam aksi minggu ke-5 Liga Super, kehilangan Kpah Sherman akan ditampung Jordan Mintah atau Kipre Tchetche.
Ketika menang 2-0 ke atas pasukan Enggang Emas, Sang Penyu dipaksa beraksi hampir sejam tanpa seorang pemain apabila penyerang sensasi, Kpah Sherman dilayangkan kad merah pada minit ke-35 selepas beliau dipersalahkan oleh pengadil perlawanan kerana didapati mengasari pertahanan tuan rumah, Gonzalo Soto.
Memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang komen tentang layangan kad merah tersebut, Nafuzi Zain berkata media dan para penyokong sendiri sudah dapat menilai apa yang berlaku dalam satu-satu perlawanan kini.
Berdepan Selangor pada Jumaat, Kpah Sherman akan melalui penggantungan perlawanan selepas meledak jaringan keduanya di Liga Super – selepas jaringan pertama ketika tunduk 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Satu yang tentunya merugikan pasukan apabila kehilangan sentuhan satu-satunya pemain yang telah berjaya meledak gol buat pasukan. Begitupun, Nafuzi Zain menjelaskan beliau tidak terkesan dengan ketiadaannya.
“Kita ada ‘feeder club’. Kipre Tchetche dan Jordan Mintah. Jadi, kita bolehlah gunakan pemain [feeder club]. Tiada masalah. Apa yang penting, saya tidak mahu fikirkan Selangor, kita raih tiga mata malam ini selepas permulaan pasukan yang kurang baik dari segi tangguh perlawanan, perlu tunggu lama dan tiga aksi di tempat lawan. Lepas ini aksi pertama di tempat sendiri, saya harap pemain beri yang terbaik nanti.”
Nafuzi Zain
Untuk aksi Liga Super setakat ini, Kipre Tchetche telah membuat satu penampilan iaitu ketika berdepan PJ City dalam aksi pertama yang menyaksikan mereka tewas 0-3. Jordan Mintah pula belum lagi tampil bersama skuad utama setakat ini. Nafuzi Zain lebih gemar menampilkan Petrus Shitembi dalam tiga perlawanan.
Berdasarkan kelebihan, Kipre Tchetche mungkin bakal dipertaruhkan selepas ini. Namun, reputasi Jordan Mintah tidak boleh disangkal. Cuma jodohnya dengan skuad utama dilihat samar-samar walaupun cemerlang musim lalu ketika mengambil alih sementara peranan sebagai penyerang menggantikan David da Silva.
Selangor bakal tampil lebih segar selepas berehat minggu ini apabila pertembungan dengan JDT ditunda atas sebab lawan mereka terlibat dalam saingan AFC Champions League (ACL). Antara Jordan Mintah dan Kipre Tchetche, para penyokong cenderung untuk memilih siapa untuk menggantikan Kpah Sherman nanti?