Bekas pemain pertahanan import Perak yang berasal dari Brazil, Thiago Junior Aquino bakal memperkasakan benteng pertahanan Felda United musim depan.
Kehadiran Thiago dilihat memberi lebih keyakinan kepada penjaga gol pasukan itu, Farizal Haron.
Bercakap kepada berita harian, Farizal sifatkan pemain import dari Brazil itu sudah terbukti keampuhannya sepanjang tiga musim bersama Perak sejak 2015.
“Bagi saya, Felda membuat pilihan tepat dengan membawa masuk Thiago. Kami tidak perlu ragu-ragu lagi dengan kemampuannya kerana ia sudah dibuktikan ketika dia bersama Perak.
“Dia bukan saja memiliki tubuh yang tegap dan tinggi, sesuai untuk seorang pemain pertahanan tengah tapi juga bekerja keras.
“Sudah beberapa kali saya tengok Thiago meneruskan perlawanan walaupun mengalami kecederaan. Ini membuktikan betapa dia seorang yang komited,” katanya
Farizal juga turut berkata pengalaman Thiago ketika beraksi bersama pasukan Perak menjadi satu kelebihan kerana beliau sudah mengetahui corak permainan liga Malaysia.
“Malah, pengalamannya tiga musim bermain di sini turut menjadi aset penting kepada Felda United kerana dia sudah memahami selok-belok liga di negara ini.
“Saya percaya dia dapat membina satu benteng yang kukuh bersama Shukor (Adan) sekali gus memberi lebih keyakinan kepada saya di pintu gol,” ujarnya.
Selain teruja dengan kemampuan Thiago, Farizal turut memuji sikap mesra pemain itu di luar padang.
“Baru beberapa hari kami menjalani latihan bersama, Thiago sudah menunjukkan keserasian bersama rakan sepasukan dengan kemesraan serta keramahannya.
“Ini membuatkan dia amat disenangi dan seolah-olah sudah lama saling mengenali. Saya rasa kemesraan seperti ini bagus serta boleh membawa impak positif di tengah padang,” katanya.