‘The Maloney Babes’- 7 Pemain Skuad B-23 Yang Boleh Dipanggil Perkuat Skuad Utama Harimau Malaya

Kelayakan Piala Asia B-23

Kejayaan skuad Bawah-23 negara kendalian Brad Maloney menjadi juara Kumpulan J pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia baru-baru ini masih hangat diperkatakan.

Pusingan kelayakan tersebut mungkin bukan ujian sebenar yang mampu menguji kemampuan pemain kerana cabaran lebih besar yang bakal menanti adalah di pusingan akhir yang akan berlangsung di Uzbekistan pada tahun hadapan.

Tidak keterlaluan jika katakan skuad ini belum lagi sempurna. Malah ada beberapa aspek permainan turut perlu diperbaiki. Tetapi ini tidak bermakna pemain-pemain gagal melakukan tugasan, dan pada masa menyerlah dan berjaya mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.

Berikut adalah antara tujuh pemain skuad kendalian Brad Maloney yang menyerlah di Ulaanbaatar, Mongolia dan mungkin boleh dipertimbangkan oleh Tan Cheng Hoe untuk diserapkan lebih awal untuk meraih pengalaman bersama skuad utama Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Mukhairi Ajmal (Selangor FC)

Sumber: FAM

Merupakan produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Sekolah Sukan Bandar Penawar), karier profesional Mukhairi mulai mencuri tumpuan pengikut bola sepak tanah air ketika bersama PKNP FC sebelum menyertai Selangor FC pada 2020.

Merupakan antara tunjang utama skuad Selangor FC pada musim ini, Mukhairi dilantik sebagai kapten pasukan skuad B-23 negara kendalian Brad Maloney di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia.

Tanggungjawab yang diberikan nyata tidak disia-siakan oleh pemain tengah ini. Bergandingan dengan baik bersama Nik Akif Syahiran untuk mengendalikan jentera tengah pasukan, apa yang menarik perhatian ialah larian-larian yang dilakukan Mukhairi di kawasan final third kerap kali memberikan masalah kepada pasukan lawan.

Kurang bernasib baik gagal menjaringkan gol untuk pasukan negara di Ulaanbaatar, kemampuan Mukhairi turut boleh dipertimbangkan oleh Tan Cheng Hoe untuk memperkuatkan jentera tengah pasukan.

Nik Akif Syahiran (Terengganu FC)

Sumber: FAM

Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil ini memulakan karier profesional beliau bersama Kelantan dan bukan pemain asing di dalam pasukan negara untuk saingan peringkat umur. Menyertai Terengganu FC pada awal musim ini, Nik Akif kini menjadi pemain yang semakin matang.

Berbeza berbanding Mukhairi, peranan Nik Akif di dalam skuad Brad Maloney lebih kepada pemain tengah bertahan. Dalam tiga perlawanan di Ulaanbaatar, Nik Akif menunjukkan composure yang baik setiap kali pasukan negara berhadapan asakan pasukan lawan.

Kemampuan beliau untuk menukar rentak permainan pasukan daripada bertahan kepada serangan dengan hantaran pendek yang tenang adalah antara kualiti yang dimiliki oleh Nik Akif.

Tan Cheng Hoe mungkin berminat untuk membawa Nik Akif di dalam pasukan mengambil kira kelompongan di posisi sama yang begitu ketara di dalam skuad Harimau Malaya – melainkan pemain seperti Natxo Insa mendapat panggilan dan bebas daripada kecederaan untuk saingan pada Piala AFF Suzuki pada Disember nanti.

Azfar Fikri (Terengganu FC)

No.13 Azfar Fikri meraikan jaringan menentang Laos. Sumber: FAM

Kami yakin selain daripada penyokong Terengganu FC, tidak ramai yang mengenali atau biasa mendengar nama Azfar Fikri. Di dalam skuad kendalian Brad Maloney, Azfar beraksi sebagai penyerang sayap di sebelah kanan di dalam sistem 3-4-3.

Saingan di dalam skuad Harimau Malaya mungkin menyebabkan Azfar sukar mendapatkan tempat di dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe kerana adanya pemain seperti Safawi Rasid, Arif Aiman dan Mohamadou Sumareh beraksi di posisi sama.

Namun demikian, ada beberapa kualiti yang dimiliki pemain ini yang membuatkan kami terpanggil agar Tan Cheng Hoe turut mempertimbangkan nama beliau pada masa hadapan.

Dalam perlawanan terakhir menentang Thailand misalnya, pemain ini gemar dan tidak mengenal penat lelah melakukan pressing setiap kali pertahanan lawan memegang bola. Azfar juga tidak pernah teragak-agak untuk melakukan terjahan untuk memenangi penguasaan bola setiap kali berpeluang berbuat demikian.

Dua gol yang dijaringkan oleh Azfar dalam perlawanan menentang Laos dan Mongolia juga membuktikan killer instinct yang dimilikinya – untuk berada di posisi yang betul pada masa yang tepat untuk menghukum lawan.

Harith Haikal (Selangor FC II)

Sumber: FAM

Harith Haikal adalah produk tunggal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berada di dalam senarai ini. Pemain ini kini beraksi bersama Selangor FC II.

Bergandingan dengan Zikri Khalili dan Azrin Afiq, ketiga-tiga pemain ini menampilkan permainan cemerlang memastikan pasukan negara tidak dibolosi langsung sepanjang tiga perlawanan pusingan kelayakan.

Apa yang menarik perhatian kami mengenai Harith ialah fizikal yang dimiliki beliau yang sesuai sebagai seorang bek tengah. Selesa dengan bola di kaki, pemain ini juga dikenali sebagai pemain yang memiliki mental yang kuat di dalam padang.

Bersama skuad B-23 Harith adalah salah seorang pemimpin di dalam padang, bertanggungjawab mengkoordinasikan  benteng pertahanan.

Pada usia 19 tahun, Harith mungkin dianggap masih muda. Namun mengambil kira usia pemain regular di dalam pasukan kebangsaan seperti Aidil Zafuan yang semakin berusia, atau prestasi tidak menentu pemain seperti Irfan Zakaria, maka ia perjudian yang berbaloi untuk Tan Cheng Hoe mulai mendedahkan pemain seperti Harith.

Quentin Cheng (Penang FC)

Sumber: FAM

Karier Quentin Cheng bermula di negara kelahirannya Australia sebelum menyertai Selangor FC II pada musim lalu. Dipinjamkan ke Penang FC,  prestasi Quentin bersama skuad Harimau Kumbang pantas mencuri perhatian Brad Maloney untuk diserapkan ke dalam skuad Bawah-23 negara.

Memiliki fizikal yang tinggi adalah satu kelebihan buat pemain ini. Lariannya di sebelah sayap kanan juga sering menjadi ancaman buat pemain lawan. Hantaran lintang pemain ini di dalam perlawanan menentang Laos di Ulaanbaatar berjaya menghasilkan satu assist yang memberikan kemenangan kepada pasukan negara.

Skuad Harimau Malaya pada hari ini mempunyai pemain seperti Matthew Davies dan Syahmi Safari. Tidak mudah untuk Quentin memecah dominasi dua pemain tersebut untuk merebut tempat di dalam skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe.

Namun itu tidak bererti pendedahan tidak boleh diberikan kepada beliau. Pendedahan di dalam perlawanan antarabangsa hanya akan lebih mematangkan pemain ini dan memberikan lebih banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe sekiranya diperlukan pada masa hadapan.

Hairiey Hakim (Terengganu FC)

Sumber: FAM

Seperti semua sedia maklum, posisi bek kiri adalah antara posisi yang bermasalah di dalam skuad Harimau Malaya. Buat masa ini posisi tersebut dimiliki oleh Corbin Ong. Pasukan negara boleh dikatakan tidak mempunyai pemain gantian ‘yang berkemampuan’ di posisi tersebut.

Apa yang ditampilkan oleh Hairiey Hakim bersama skuad Bawah-23 negara memberikan sinar harapan Malaysia masih lagi mempunyai bakat untuk diketengahkan di posisi tersebut.

Di Ulaanbaatar, Hairiey menampilkan permainan meyakinkan di sebelah kiri dengan larian ke hadapan yang tidak mengenal penat lelah, dan disiplin tinggi ketika bertahan.

Cabaran utama Hairiey bagaimanapun ialah di peringkat kelab. Beliau terlebih dahulu perlu menempatkan dirinya sebagai pemain kesebelasan utama di dalam skuad Nafuzi Zain.

Jika mampu mengekalkan prestasi konsisten di peringkat kelab, kami tiada keraguan Hairiey memiliki segala ramuan untuk menyerlah bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Azri Ab Ghani (Perak FC)

Sumber: FAM

Terlalu awal untuk menilai prestasi Azri Ab Ghani berdasarkan hanya tiga perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia Bawah-23 yang lalu.

Azri adalah penjaga gol pilihan Brad Maloney, dan beberapa aksi tangkas beliau berjaya memastikan pasukan negara tidak dibolosi langsung dalam tiga perlawanan yang dilalui di Mongolia.

Berdasarkan kepercayaan diberikan oleh Brad Maloney dan berjaya mengetepikan Sikh Izhan Nazrel sebagai penjaga gol pilihan utama, ini bermakna Azri juga mempunyai ciri-ciri penjaga gol yang mampu membantu cabaran skuad utama negara pada masa hadapan.

Lagi pun sampai bila Tan Cheng Hoe mahu bergantung harap kepada penjaga gol seperti Farizal Marlias (35 tahun) atau Khairul Fahmi Che Mat (32 tahun) membanting kudrat bersama pasukan negara.

Oleh kerana itu kami juga berpendapat, pemain seperti Azri Ab Ghani wajar diberikan panggilan seawal mungkin untuk mengalami sendiri pengalaman bersama skuad negara di dalam kejohanan utama rantau ini.

Penutup

Kami percaya masih ramai pemain tempatan yang berkemampuan untuk berada di dalam senarai ini.

Apa pun perkara terpenting ialah untuk tidak mensia-siakan bakat mereka, dan pendedahan seawal mungkin saingan di peringkat antarabangsa hanya akan memberikan pulangan yang baik untuk pasukan negara.

Leave a Reply