JDT Perjelas Isu Marshall SSI Sengaja Halang Kain Rentang Penyokong Sabah FC

Perlawanan Piala Malaysia diteruskan pada pertengahan minggu ini dan salah satunya ialah kunjungan Sabah FC ke Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan menentang JDT.

Perlawanan tersebut berlangsung dengan rancak dan merupakan kali pertama penyokong skuad Harimau Selatan kembali ke stadium sejak kebenaran untuk penyokong memasuki stadium dibenarkan oleh kerajaan.

Merupakan pasukan pilihan di dalam saingan Kumpulan D, JDT tidak mempunyai masalah menewaskan Sabah FC dengan jaringan 3-0 hasil jaringan Leandro Velazquez seawal minit ke-6 perlawanan, dan dua gol oleh Bergson da Silva pada setiap babak perlawanan.

Namun demikian terdapat rasa kurang senang di kalangan penyokong pasukan pelawat yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan mereka di Stadium Sultan Ibrahim pada malam tadi.

Ini disebabkan kain rentang yang dibawa dan digantung di dalam stadium seolah-olah seperti sengaja dihalang oleh sejumlah marshall stadium yang bertugas.

Tanggapan tersebut mungkin adalah kerana marshall-marshall yang bertugas dilihat selamba menonton perlawanan, dan bukannya berdiri menghadap penyokong Sabah sekiranya menjalankan tugas.

Menyedari isu tersebut, kelab bola sepak Johor Darul Taa’zim (JDT) tampil dengan penjelasan melalui satu kenyataan pada malam tadi.

Menurut kenyataan tersebut JDT menegaskan kumpulan marshall tersebut sememangnya diarah untuk berada di sekeliling penyokong Sabah FC untuk melindungi mereka.

Ini kerana tiada tempat duduk khusus untuk penyokong Sabah FC disediakan kerana tiada permintaan dilakukan oleh pasukan lawan sebelum perlawanan tersebut.

Disebabkan perkara itu, penyokong Sabah FC yang hadir terpaksa duduk bersama penyokong JDT yang lain, dan marshall ditempatkan untuk keselamatan mereka.

“Memang benar bahawa marshall berdiri mengelilingi penyokong Sabah tetapi ianya hanya kerana ingin membentuk ‘human barricade’ kerana penyokong Sabah ini tidak berada di kawasan tempat duduk khusus buat penyokong pelawat,” kata kenyataan tersebut.

“Sabah FC tidak memohon sebarang peruntukan untuk penyokong lawan, hinggakan para penyokong Sabah FC hanya boleh membeli tiket di bahagian penyokong tuan rumah dan duduk bersama-sama mereka.

“Ianya adalah satu niat yang murni buat kelab untuk membenarkan penyokong ini masuk ke stadium dan menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi untuk mereka.

“Pihak kelab juga telah memberi amaran kepada marshall kerana tidak mengambil langkah berjaga-jaga terlebih awal dan sebaliknya menonton perlawanan, tidak memerhati penyokong.”

Semoga dengan penjelasan ini, isu ini dapat dijawab.

Leave a Reply