Ketumpulan jentera serangan di hadapan gol membuatkan Manchester United mempertimbangkan untuk menandatangani dua orang penyerang sekaligus pada jendela perpindahan musim panas ini.
Hanya satu mata memisahkan The Red Devils daripada slot kejohanan Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan mereka berpeluang untuk mengesahkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang aksi menentang Chelsea pada Khamis ini.
Seterusnya United menutup aksi liga menentang Fulham di Old Trafford sebelum membuat perhitungan dengan Manchester City bagi aksi final Piala FA pada 3 Jun nanti.
Skuad kendalian Erik ten Hag itu hanya mencatatkan 52 gol daripada 36 perlawanan liga dan rekod tersebut adalah kedua terendah dalam kalangan 10 pasukan teratas liga.
Ten Hag sering mengkritik pemainnya yang gagal untuk ‘membunuh’ perlawanan selepas mendahului dan keadaan yang sama berlaku ketika kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth pada hujung minggu lalu.
Menyedari isu utama pasukannya, jurulatih warga Belanda itu melihat perlunya penyerang baharu dan sasaran utama kini adalah penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.
Meskipun Spurs melalui musim yang cukup mengecewakan dan dijangka terlepas tiket untuk ke saingan Eropah musim depan, kapten England tersebut masih berupaya meledak 28 gol dalam aksi liga.
Baki kontrak Kane bersama kelab London tersebut hanya berbaki setahun dania merupakan peluang terbaik untuk United mendapatkan penyerang yang berupaya menjanjikan 20 gol semusim.
Namun penghalang utama kepada perpindahan tersebut tentulah pemilik Spurs sendiri, Daniel Levy yang tidak mahu berganjak dengan tag harga bernilai £100 juta untuk United memancing Kane.
Sementara United pula sudah memberi kata dua sama ada menerima tawaran yang munasabah kerana sudah mempunyai sasaran lain yang boleh disambar dengan harga yang jauh lebih berpatutan.
🚨🏴 Manchester United’s main summer transfer target remains Harry Kane who they are still confident of landing in a £100million deal. [@ncustisTheSun] #MUFC pic.twitter.com/1vkBTW9Uaw
— United Update (@UnitedsUpdate) May 23, 2023
Ten Hag tentunya tidak mahu pencarian diheret terlalu lama agar senjata baharunya itu dapat menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan semasa aksi jelajah pramusim sebelum aksi EPL kembali bermula pada Ogos.
Jika rundingan dengan Kane gagal, seorang lagi pemain yang menjadi sasaran adalah Victor Osimhen yang baru sahaja membantu Napoli menamatkan 33 tahun kejuaraan Scudetto.
Harga penyerang Nigeria itu juga dijangka boleh mencecah sehingga £100 juta, tetapi dengan usia yang lebih muda menjadikannya sebagai pelaburan jangka panjang yang berbaloi.
Penyerang elit lain yang sudah berada pada radar United adalah penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez dan penyerang Juvetus, Dusan Vlahovic.
Vlahovic dilihat sasaran yang lebih mudah untuk ditandatangani memandangkan peluang Juventus untuk beraksi di saingan UCL semakin samar selepas kelab tersebut dihukum dengan penolakan 10 mata.
Vlahovic, Kane anaa Osimhen? Striker bɛn na wobɛpɛ sɛ yɛde no bɛba United? pic.twitter.com/W1SnOxrL6S
— ManUtd_Twi (@Twi_ManUtd) May 24, 2023
Nama lain yang menjadi pertimbangan adalah beberapa penyerang muda seperti Rasmus Hojlund (Atalanta), Santiago Gimenez (Feyenoord), Goncalo Ramos (Benfica), Mohammed Kudus (Ajax) dan Benjamin Sesko (Red Bull Salzburg) yang boleh dibeli dengan harga yang tidak terlalu tinggi.
Ternyata unit serangan adalah bahagian yang cukup kritikal untuk segera diperbaiki oleh United pada musim depan. Peluang buat Wout Weghorst yang kini dalam status pinjaman hampir pasti sudah tertutup. Anthony Martial juga dipercayai bakal ditunjukkan jalan keluar di atas prestasi hambarnya.
Siapakah pemain yang akan mendapat kepercayaan Ten Hag?