6 Bintang Premier League Yang Bakal Berstatus Bebas Pada Musim Panas Ini

Musim panas ini bakal memperlihatkan begitu ramainya pemain-pemain hebat bakal berstatus bebas dek kerana kontrak mereka bersama kelab telah tamat pada penghujung musim ini.

Dalam saingan Premier League sendiri, terdapat ramai pemain yang akan berstatus bebas pada penghujung musim ini, dan rata-rata dari mereka masih belum ada destinasi seterusnya untuk ditujui.

Tidak kira pemain berusia atau pemain muda, sebenarnya ramai pemain berbakat dalam saingan Premier League yang boleh ditandatangani pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ada pemain bintang yang sudah menjulang gelaran Premier League dan ada juga bintang muda yang sedang meningkat naik turut ada dalam senarai ini.

Menurut kajian dari GiveMeSport, terdapat enam pemain terbaik yang akan berstatus bebas pada musim panas ini, dan jelas sekali banyak kelab yang akan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.

Tanpa berbahasa basi, berikut merupakan enam pemain bintang dalam saingan Premier League yang akan berstatus bebas pada musim panas nanti.

6) David de Gea, Manchester United

Kontrak penjaga gol utama Manchester United itu akan tamat pada Jun nanti, dengan pihak kelab juga masih belum menawarkan kontrak baru kepada bintang Sepanyol itu.

Tidak akan mengejutkan juga andai De Gea bakal menjadi antara pemain bebas kontrak yang paling diburu pada jendela perpindahan musim panas ini selepas melihat kepada pengalaman dan kemampuan yang beliau miliki.

Erik ten Hag masih berhasrat untuk mendapatkan khidmat De Gea lagi, namun selepas melihat beliau melakukan beberapa kesilapan dungu sepanjang musim ini, sepertinya pihak kelab tidak akan menanggung risiko untuk menawarkan kontrak baru kepadanya.

5) Reiss Nelson, Arsenal

Arsenal dilaporkan masih berunding dengan pemain berbakat yang kini berusia 23 tahun itu, dengan The Gunners dilaporkan masih berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Kontrak beliau bersama kelab akan tamat pada Jun nanti, dan sepertinya masih belum terlambat untuk Arsenal memujuk bintang muda itu supaya terus bersama kelab.

Pada April lalu, The Daily Mail ada melaporkan yang Brighton sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Nelson dan rundingan antara kedua-dua kelab juga dilaporkan masih sedang berlangsung.

Walau bagaimanapun, menurut laporan dari Fabrizio Romano, Arsenal sudah bersedia untuk menawarkan kontrak yang sangat lumayan kepada Nelson agar beliau kekal bersama kelab hingga 2027 nanti.

Namun begitu, dek kerana kontrak beliau akan tamat pada Jun ini, maka Nelson sebenarnya masih bebas untuk memilih ke mana destinasi beliau pada musim baru nanti.

4) Wilfried Zaha, Crystal Palace

Boleh dikatakan setiap jendela perpindahan sejak beberapa musim kebelakangan ini, nama Zaha kerap dikaitkan dengan bakal meninggalkan Crystal Palace.

Walau sebelum ini hal itu tidak pernah berlaku, namun sepertinya musim panas ini akan lebih berbeza kerana kontrak beliau bersama kelab akan tamat pada ketika itu.

Menurut laporan dari media Perancis, Foot Mercato, keutamaan Zaha pada musim panas ini adalah untuk menyertai Marseille dalam saingan Ligue 1.

Ia sepertinya bakal menjadi kenyataan kerana Zaha sangat menginginkan untuk hal itu berlaku, dan andai ia benar-benar terjadi, maka beliau bakal menikmati aksi di pentas saingan Champions League bersama Marseille.

3) Roberto Firmino, Liverpool

Harus diakui yang nama Firmino merupakan antara yang paling disebut-sebut oleh peminat tentang status beliau pada musim panas ini.

Legenda Liverpool itu sudah mengucapkan selamat tinggal kepada The Reds di Anfield hujung minggu lalu, namun masih belum jelas ke mana destinasi seterusnya beliau selepas ini.

Barcelona dikatakan antara kelab yang paling berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Brazil itu dengan ada laporan yang menyatakan bahawa Firmino sebenarnya sudah sah akan ke Nou Camp namun ia masih belum diumumkan secara rasmi.

Tidak pasti ke mana destinasi pilihan beliau selepas ini, namun satu hal yang pasti, Firmino bakal memberikan impak yang sungguh menakjubkan kepada bakal majikan beliau selepas melihat apa yang mampu beliau berikan kepada Liverpool sebelum ini.

2) N’Golo Kante, Chelsea

Masih tidak jelas sama ada pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Perancis itu akan meninggalkan kelab atau tidak pada musim panas ini, namun satu hal yang pasti kontrak beliau bersama The Blues akan tamat pada penghujung musim ini nanti.

Kante tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain defensive midfielder terhebat dalam sejarah saingan Premeir League, dan jelas sekali banyak kelab yang akan sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Beberapa media dari Perancis dan Itali ada melaporkan yang Juventus dan Inter Milan merupakan dua pasukan yang sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya selepas kontrak beliau bersama Chelsea tamat.

1) Ilkay Gundogan, Manchester City

Harus diakui yang bintang Manchester City, Iikay Gundogan merupakan antara maestro paling underrated dalam sejarah saingan Premier League.

Pemain kebangsaan Jerman itu merupakan nadi penting dalam sistem kendalian Pep Guardiola di Etihad dengan beliau telah membantu kelab memenangi begitu banyak perlawanan penting.

Gundogan kerap menjaringkan gol penting untuk The Citizens dan impak yang beliau berikan di atas padang juga sangat luar biasa menakjubkan.

Namun begitu, walau beliau dianggap pemain terpenting kelab, namun pihak kelab masih belum lagi menawarkan kontrak baru kepada pemain midfield itu.

Kontrak beliau akan tamat pada penghujung musim ini dan sepertinya tak ada tanda-tanda yang beliau akan terus kekal bersama kelab pada musim baharu nanti.

Melihat kepada sumbangan dan kemampuan beliau, maka tidak hairanlah beliau dianggap sebagai pemain paling underrated dalam sejarah saingan Premier League.

Jelas sekali banyak kelab yang akan sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya pada musim baharu nanti, dan hingga kini masih tidak jelas ke mana agaknya destinasi pilihan beliau.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN