Sedang hangat dibincangkan di media sosial ketika ini adalah gaya Safawi Rasid dan Guilherme de Paula meraikan jaringan gol dalam aksi bertemu Vietnam dan Thailand.
De Paula meledak gol ketika Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam dan Safawi Rasid pula meledak gol ketika menundukkan Thailand 1-0. Ironinya, mereka menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang mereka perolehi selepas dihadang pemain lawan.
Keraian selepas meraikan gol menjadi fokus kerana kedua-duanya mempamer lagak seolah-olah sedang ‘membahan’ semula penyokong sendiri. Mereka berdua menerima kritikan pedas atas prestasi yang mereka pamerkan dalam perlawanan di UAE.
Tanpa mereka sedar, ‘ekor Harimau Malaya’ yang berada di stadium terkesan dengan tindakan mereka, hanya meraikan gol dengan kamera, bukan dengan penyokong.
A bit sad for us at the stadium, where the players preferred the kamera than us during the goals celebration (both 2 goals). Perhaps they are more concerned of their reputation in the social media hence the gestures, instead celebrating with fellow malaysians at the stadium. 🙁
— Jusri Shari (@The7thKnight) June 16, 2021
Seorang penyokong yang berada di stadium meluahkan rasa sedihnya apabila Safawi Rasid dan De Paula memilih untuk meraikan gol dengan kamera. Beliau yang dikenali sebagai Jusri Shari bersama rakan-rakannya dilihat turun memberikan sokongan.
Mereka hanya bersorak sepanjang perlawanan buat Harimau Malaya dan seharusnya para pemain merasa mereka tidak keseorangan kerana sorakan yang sama dilontarkan oleh Jusri Shari bersama rakan-rakannya sebagaimana sorakan di Bukit Jalil.
Tentu ada sekelumit perasaan kecewa apabila para pemain tidak meraikan bersama mereka. Walaubagaimanapun, selepas habis perlawanan, para pemain dilihat meraikan penyokong yang hadir. Inilah salah satu gesture penghormatan kepada penyokong.
Ada yang mengatakan gaya meraikan gol kedua-dua pemain adalah untuk ‘membahan’ semula para pemerhati, media dan penyokong yang pedas mengkritik mereka sejak baki saingan kelayakan kembali bersambung pada awal Jun yang lalu di UAE.
Views please. pic.twitter.com/YriPHbJud4
— Haresh Deol 🇲🇾 (@HareshDeol) June 16, 2021
Penulis sukan, Muhammad Aiman turut dilihat memuat naik status di Facebooknya menyatakan tentang keraian gol kedua-dua pemain. Menurutnya, mereka meraikan seperti telah meledak hatrik setiap seorang dan berjaya menutup mulut pengkritik.
Mereka berhak meraikannya, namun gaya keraian itulah yang dirasakan tidak perlu. Kritikan tidak akan hadir jika pemain bermain dengan baik. Kita pernah kalah ketika berdepan Vietnam pada Oktober 2019, tetapi ketika itu, ada kritikan sebegini timbul?
Ada yang mengatakan mereka tidak berkenan dengan gaya sebegitu, ada yang berkata mereka meluat dan sebagainya. Menurut mereka, Safawi Rasid dan de Paula mungkin ‘koyak’ atau terkesan dengan kritikan demi kritikan dilontar daripada pelbagai sudut.
Menurut bekas pengurus pasukan Selangor, Zakaria Rahim dalam muat naik statusnya di Facebook dilihat berkata, “Tak boleh ditegur. Nak dipuja puji sepanjang masa.”
“Bila mereka sudah berada di hujung karier atau sudah bersara nanti, barulah mereka akan faham akan nilai dan jasa pengkritik, pemerhati serta peminat.
“Sekarang masa sedang popular, mahu ambil yang puji-pujian sahaja dan minta yang mengkritik, keyboard warrior tutup mulut,” tambahnya lagi tentangnya.
“Tetapi mereka lupa, bahawa apabila nama disebut bermakna anda diingati dan diperhati. Kalau pemain dah berperangai begini, apa pulak bentuk pasukan jika mempunyai pengurusan yang serupa juga nanti,” tegasnya mengenai isu itu.
Malah ada yang membandingkannya dengan gesture Baddrol Bakhtiar yang dikritik hebat pada awal musim lalu akibat prestasinya. Baddrol Bakhtiar bangkit dan telah memberikan gaya keraian yang sederhana dan lebih bersikap merendah diri.
Hanya Safawi Rasid dan de Paula tahu apa yang mereka raikan. Membidas kritikan dengan gaya sebegitu atau ia tidak membawa sebarang maksud, hanya mereka yang lebih arif. Malaysia sudah pun layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.
Saat ini, fokus harus kembali kepada bagaimana untuk kembali ke tahap prestasi yang sebenar. Jelas, walaupun kita menang menentang Thailand, prestasi skuad negara dan sesetengah pemain seperti Safawi Rasid adalah di bawah tahap yang sebenar.
De Paula dan Mohamadou Sumareh juga dilihat kurang berkesan. Semuanya ada di statistik dan statistik tidak menipu. Jadi, diharapkan para pemain akan membalas kritikan dalam pusingan kelayakan Piala Asia nanti dengan tiket ke Piala Asia.
“Apa pun, kuncinya adalah perlunya sikap saling menghormati disuburkan dalam kalangan pemain dan penyokong negara. Kedua-duanya saling memerlukan, tatkala masing-masing berhak menzahirkan pandangan,” Retro Bola Sepak.
Terima kasih de Paula, terima kasih Safawi Rasid! Walaupun penalti, anda telah menyumbang gol buat skuad negara sepanjang baki kempen kita di Dubai, UAE.
Baca lagi artikel lain mengenai skuad kebangsaan:
Membedah Harimau Malaya Pasca Kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023
Masih Wajarkah Safawi Rasid & Sumareh Berada Dalam XI Malaysia Berdepan Thailand?
VIDEO: Penyokong Vietnam Berikan Guard Of Honour Kepada Penyokong Malaysia