Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC 1 (TFC 1), Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan mereka telah pun menandatangani bekas pemain Ulsan Hyundai, Park Seung-il bagi mengisi kuota pemain import Asia.
Pemain yang berusia 29 tahun ini bermain untuk kelab Anyang FC dalam saingan divisyen 2 Liga Korea musim lepas dan bakal menggantikan seorang lagi pemain dari Korea Selatan yang mengalami kecederaan sebelum ini iaitu Kim Hyun Woo.
“Seung-iI menjadi pemain import terakhir diikat PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) bagi menggantikan Kim Hyun Woo yang tidak dapat bersama pasukan akibat kecederaan yang dialami.
“Pemain yang mampu beraksi di posisi tengah dan serangan itu kini dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan selain faktor kecergasan kerana baru tiba dan berkemungkinan kita akan merehatkannya pada aksi pertama bertemu PKNS di Kuala Terengganu pada 3 Februari ini,” kata Irfan Bakti kepada Berita Harian.
Bekas pemain import PKNP FC, Hyun Woo tidak sempat pulih daripada kecederaan yang di alami ketika aksi pra musim di Kemboja dan terpaksa berehat sehingga enam bulan sekali gus memaksa Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menamatkan kontrak pemain itu.
Mengulas mengenai sasaran untuk saingan Liga Malaysia musim ini, Irfan berkata pasukan Terengganu menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu Piala.
“Ini salah satu objektif kami merangkul sekurang-kurangnya satu piala. Walau bagaimanapun saya akui ini bukan satu tugasan mudah namun kami akan berusaha untuk mencapai impian itu,” kata Irfan Bakti